Wanita MCA Minta Kerajaan Perluskan Kemudahan Insentif Kepada Ibu Tunggal - Berita Semasa | mStar

Wanita MCA Minta Kerajaan Perluskan Kemudahan Insentif Kepada Ibu Tunggal

Diterbitkan: Selasa, 9 Februari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Wanita MCA mahu kerajaan memperluaskan kemudahan bayaran pendahuluan kepada mereka yang memperoleh perintah nafkah daripada Mahkamah Syariah kepada bangsa lain.

Ketuanya Datin Paduka Chew Mei Fun berkata golongan isteri yang melalui proses penceraian tanpa mengira bangsa dan agama turut berdepan dengan masalah bebanan kewangan apabila suami gagal menunaikan perintah memberi nafkah oleh mahkamah.

"Kami meminta kerajaan memberi insentif sama kepada wanita bukan Islam yang dalam proses perceraian dan tidak diberikan nafkah oleh suami," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatakuasa Eksekutif Wanita MCA di Wisma MCA di sini hari ini.

Chew berkata ibu tinggal bukan Islam mengeluarkan perbelanjaan untuk menguatkuasakan perintah memberi nafkah yang diperolehi dari mahkamah sivil tetapi besar kemungkinan bekas suaminya gagal mematuhi perintah itu.

"Sebagai langkah jangka pendek, kami harap insentif sama ditawarkan kepada ibu tunggal bukan Islam yang mengharungi nasib yang sama yang dilalui oleh ibu tunggal Islam," katanya.

Baru-baru ini, kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM15 juta untuk digunakan sebagai bayaran pendahuluan kepada mereka yang mendapat perintah nafkah daripada Mahkamah Syariah.

Peruntukan tersebut bertujuan untuk membantu isteri-isteri yang dalam proses perceraian dan tidak diberikan nafkah oleh suami.

Insentif itu diberikan supaya mereka dapat meneruskan hidup dengan baik dan tidak diabaikan. -BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan