Kerajaan Selangor Perlu Beri Peruntukan Lebih Kepada Golongan Miskin - Shahrizat - Berita Semasa | mStar

Kerajaan Selangor Perlu Beri Peruntukan Lebih Kepada Golongan Miskin - Shahrizat

Diterbitkan: Selasa, 9 Februari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KLANG: Kerajaan negeri Selangor yang diperintah pembangkang perlu meningkatkan peruntukannya bagi membantu golongan miskin di negeri ini, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil hari ini.

Katanya sebagai sebuah negeri maju dan terkaya di negara ini, Selangor sepatutnya membelanjakan lebih sedikit bagi meningkatkan tahap sosio ekonomi golongan miskin.

Kerajaan negeri Selangor yang ada sekarang kurang komitmen bagi membantu golongan miskin. Sebenarnya, mereka patut berbelanja lebih memandangkan bajet (tahunan) mereka masih berdasarkan kepada apa yang ditinggalkan (kerajaan) Barisan Nasional (sebelum ini)," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program yang diadakan bersempena sambutan Tahun Baru Cina anjuran kementeriannya dekat sini.

Menurut Shahrizat, kerajaan negeri Selangor membelanjakan RM6.3 juta untuk membantu 6,793 orang miskin di negeri ini tahun lepas berbanding RM61.5 juta yang dibelanjakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk membantu 27,584 orang.

Sementara itu, Shahrizat, yang bertanggungjawab bagi meningkatkan taraf kehidupan penduduk yang berpendapatan rendah di bawah sistem kerajaan dalam Petunjuk Prestasi Utama (KPI) berkata, kementeriannya akan mengenal pasti dan membantu 44,643 keluarga miskin tegar dengan pendapatan isi rumah RM440 dan ke bawah di seluruh negara tahun ini. -BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan