Sistem Amaran Awal Berintegrasi Kesan Kanak-Kanak Hilang Ke Kabinet April Ini

Diterbitkan: Isnin, 8 Februari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Satu sistem amaran awal berintegrasi yang menghubungkan kesemua agensi-agensi penguatkuasa dan komuniti bagi mengesan kanak-kanak yang hilang dijangka dibawa ke mesyuarat kabinet April ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, kementeriannya dan polis telah mengadakan perbincangan dan berharap sistem yang dicadangkan itu dapat disiapkan dalam tempoh terdekat ini, selepas tertangguh hampir tiga tahun.

Katanya, sistem itu yang dicadangkan pada tahun 2007 selepas kes Nurin Jazlin Jazimin yang dibunuh dengan kejam, perlu disegerakan bagi memastikan kanak-kanak yang dilaporkan hilang dapat diselamatkan dalam kadar segera.

"Banyak kes kehilangan kanak-kanak yang kita bimbang mereka bukan sahaja dijadikan mangsa jenayah tetapi mungkin dijadikan mangsa penyeludupan manusia," katanya selepas merasmikan Seminar Pegawai-Pegawai Kanan Polis Wanita 2010 di Maktab PDRM Cheras, di sini hari ini. Menurutnya, sistem itu akan melibatkan polis, agensi-agensi penguatkuasa lain dan komuniti.

"Apabila satu laporan kehilangan dibuat, langkah-langkah pantas seperti menyiarkan gambar dan butiran mangsa menerusi media, di tempat-tempat awam serta semua pintu keluar sempadan dilakukan dalam usaha mengesan kehilangan mangsa," katanya.

Mengulas lanjut mengenai sistem itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang turut hadir pada majlis itu berkata, polis telahpun mengguna pakai sistem seumpamanya, namun ia terhad kepada PDRM sahaja.

"Apabila kita menerima satu laporan kehilangan, kita terus memaklumkan kepada semua balai dan ibu pejabat polis daerah serta di kawasan sempadan. Ini hanya tindakan polis sahaja yang mungkin akan mengambil masa untuk memaklumkan kepada orang ramai," katanya.

Katanya, dengan adanya sistem amaran berintegrasi itu, pembabitan pelbagai pihak termasuk orang ramai akan mempercepatkan penyaluran maklumat serta tindakan yang diambil.

Sementara itu, Shahrizat berkata, kementeriannya kini di peringkat akhir mengemaskini pindaan terhadap Akta Keganasan Rumahtangga 1994 bagi memastikan penguatkuasaannya lebih efektif.

Katanya, akta sedia ada sukar dilaksanakan kerana kuasa pihak polis adalah terbatas dan antara perkara yang akan dimasukkan di dalam pindaan itu ialah perluasan skop definisi keganasan itu sendiri.

"Kita bimbang kerana terdapat pelbagai bentuk keganasan terhadap wanita yang berlaku. Jika dahulu definisinya pada fizikal sahaja tetapi kini kita melihat daripada skop yang lebih luas termasuk keganasan mental dan psikologi," katanya. - BERNAMA

iklan

Video

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Kolumnis

iklan

Iklan