Siapa MB Perak: Nasib Zambry, Mohammad Nizar Esok

Diterbitkan: Isnin, 8 Februari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

DR. ZAMBRY ABDUL KADIR
DR. ZAMBRY ABDUL KADIR

KEMELUT pertikaian siapakah Menteri Besar Perak yang sah dari sudut undang-undang bakal dirungkai dalam keputusan bersejarah oleh Mahkamah Persekutuan esok.

Setelah genap setahun Barisan Nasional (BN) menguasai Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir kini bakal berhadapan dengan satu fasa baru dalam karier politiknya sebagai Menteri Besar.

Undang-undang akan menentukan sama ada BN akan terus mengekalkan kedudukannya di negeri itu ataupun menyaksikan Pakatan Rakyat yang dianggotai Parti Keadilan Rakyat (PKR), PAS dan DAP kembali merampas kedudukan mereka seperti selepas Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12) lalu.

Malah lebih jauh daripada itu, keputusan siapa yang bakal menjadi 'juara rakyat' di Perak memberi signifikasi yang lebih luas dalam corak perkembangan politik di Malaysia.

Tidak kurang juga yang melabelkan keputusan berkenaan adalah antara 'hidup dan mati' sama ada bagi BN mahupun pakatan pembangkang.

Bagi BN, sudah pasti pengekalan status quo sedia ada akan menjadi penanda aras bagi merangsang semula sokongan rakyat di negara ini terutamanya bagi negeri-negeri yang terlepas ke tangan pembangkang selepas PRU-12.

Bukan itu sahaja, penguasaan BN di Perak juga sebenarnya menjadi perangsang atau 'azimat' bagi parti itu menghadapi pilihan raya negeri Sarawak yang dijangka akan diadakan dalam masa terdekat iaitu sebelum Jun 2011.

Selain itu, mimpi ngeri BN apabila negara mengalami tsunami politik pada Mac 2008 dijangka dapat dipulihkan menjelang PRU-13 nanti jika parti itu berjaya mengekalkan penguasaannya di Perak.

Hakikatnya penguasaan di Perak merupakan benteng maruah BN untuk membuktikan bahawa mereka masih relevan untuk menjadi sebuah kerajaan yang dibentuk oleh rakyat bagi berkhidmat untuk rakyat.

Konflik tentang siapakah yang sebenarnya berhak menjadi Menteri Besar Perak, timbul tahun lepas apabila tiga wakil rakyat daripada pakatan meninggalkan parti masing-masing untuk menjadi wakil Bebas dan menyebabkan kedua-dua pihak mempunyai jumlah kerusi yang sama iaitu 28 dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang mempunyai 59 kerusi.

Mereka ialah Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) dan Mohd Osman Mohd Jailu (Changkat Jering), yang meninggalkan PKR pada 30 Januari dan mengisytiharkan diri sebagai anggota Bebas yang menyokong BN.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Jelapang, Hee Yit Foong daripada DAP mengikut jejak mereka empat hari kemudian.

Berikutan itu, Sultan Perak, Sultan Azlan Shah menitahkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang juga ADUN Pasir Panjang supaya melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar pada ketika itu dan menitahkan Dr. Zambry mengangkat sumpah menduduki kerusi berkenaan pada Februari tahun lepas setelah mengisytiharkan bahawa BN mempunyai majoriti dalam DUN Perak.

Sementara itu, bagi pakatan pembangkang, keputusan esok adalah kayu ukur kepada kebangkitan mereka selama ini untuk membawa angin perubahan kepada landskap politik Malaysia.

Kebangkitan Pakatan Rakyat pada PRU Mac 2008 telah menafikan penguasaan majoriti dua pertiga BN dalam Parlimen.

Oleh yang demikian, bagi pembangkang keputusan 'mengembalikan' jawatan Menteri Besar Perak ke tangan mereka cukup signifikan bagi membuktikan kemaraannya.

Diramalkan juga jika keputusan berkenaan berpihak kepada Mohammad Nizar, kemungkinan beliau akan memohon perkenan Sultan Perak untuk mengadakan pilihan raya negeri bagi memberi peluang kepada rakyat 'menghakimi' pertikaiaan yang wujud sejak setahun lalu.

Esok, panel lima hakim yang diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff akan mengumumkan keputusan mereka sama ada Zambry kekal sebagai Menteri Besar atau Mohammad Nizar memperoleh semula jawatan itu.

Penghakiman itu juga akan merungkai isu perlembagaan sama ada ketua negeri boleh membuat pertimbangan dengan mengatasi undang-undang sedia ada dalam menentukan sama ada ketua kerajaan telah hilang kepercayaan daripada majoriti wakil-wakil yang dipilih.

Selain Alauddin, panel hakim berkenaan dianggotai Hakim Besar Malaya Tan Sri Arifin Zakaria dan Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin, Datuk Wira Ghazali Mohd Yusoff dan Datuk Abdull Hamid Embong.

Ini merupakan rayuan peringkat terakhir bagi Mohammad Nizar dalam cubaannya mendapatkan semula kerusi panas tersebut.

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan