PDRM Perkenal Alat Pengesan Had Laju Lebih Canggih

Diterbitkan: Isnin, 8 Februari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini memperkenalkan alat pengesan had laju lebih canggih yang dikenali sebagai 'Tru Cam' bagi memantapkan operasi Ops Sikap ke-21 sempena Tahun Baru Cina.

Ketua Trafik Persekutuan, Datuk Abdul Aziz Yusof berkata alat pengesan had laju itu yang boleh digenggam dengan tangan dapat memproses data dengan lebih jelas, cekap dan pantas berbanding alat pengesan sedia ada.

"Alat pengesan had laju ini senang dibawa kemana-mana serta mudah digunakan dan beratnya hanya 1.5 kg berbanding alat lama seberat 40 kg.

"Alat ini cuma ada lima unit sahaja dan kita masih menggunakan peralatan pengesan had laju yang sedia ada kerana ia masih boleh digunakan," katanya ketika memperkenalkan alat tersebut kepada pemberita di Lebuhraya PLUS (Projek Lebuhraya Utara-Selatan) berhampiran susur keluar Bangi menghala ke ibu negara.

Mengulas lanjut mengenai alat terbaru itu, beliau berkata alat itu juga mempunyai dwifungsi iaitu mampu mengambil gambar dan merakam video kelajuan serta mempunyai skrin berwarna berbanding yang sebelumnya hanya berfungsi sebagai mengambil gambar sahaja.

Abdul Aziz berkata alat baru itu mungkin akan dipasang di dalam kenderaan polis bagi memudahkan peronda polis mengambil gambar kelajuan kenderaan yang didapati melebihi had laju atau melakukan kesalahan jalan raya.

"Dengan ini kita akan dapat menahan pemandu yang melakukan kesalahan dengan serta merta atau memberi saman pos kepada mereka kerana alat ini membolehkan pihak kami mendapatkan maklumat terperinci pemilik kenderaan dengan cepat," katanya.

Beliau juga berkata PDRM telah mendirikan khemah dan menempatkan anggota di setiap lokasi panas di sepanjang lebuh raya serta meletakkan seorang anggota polis bermotosikal yang akan ditugaskan ke lokasi sekiranya berlaku kemalangan.

"Kita menggunakan pendekatan terbaru bagi menangani kemalangan di lebuh raya dengan memberikan bantuan terus menggunakan motosikal polis yang diletakkan di setiap 36 lokasi yang dikenal pasti sebagai kawasan yang kerap berlaku kemalangan bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas di sepanjang lebuh raya PLUS.

"Harapan kita ialah kadar kemalangan jalan raya pada tahun ini dapat dikurangkan dengan mengambil kira aspek sikap pemandu, keadaan kenderaan dan faktor jalan licin yang perlu dititikberatkan," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan