Kerjasama Dengan Universiti Tingkat Bidang Pertanian - Berita Semasa | mStar

Kerjasama Dengan Universiti Tingkat Bidang Pertanian

Diterbitkan: Isnin, 8 Februari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SERDANG: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan bekerjasama dengan universiti tempatan secara lebih agresif dalam usaha meningkatkan bidang pertanian terutamanya pertanian berimpak tinggi.

Menterinya, Datuk Seri Noh Omar berkata, melalui kerjasama itu juga, kementerian berharap dapat mengenal pasti keperluan khusus bidang pertanian selain dapat membantu memberikan input dalam pembentukan Dasar Pertanian Negara yang keempat.

"Kerjasama ini akan dimulai dengan penubuhan Jawatankuasa Bersama dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) dan kemudian ia akan dikembangkan kepada universiti lain yang ada kaitan dengan kajian pertanian," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Noh berkata, bantuan serta pandangan daripada ahli akademik dalam bidang pertanian berimpak tinggi seperti rumpai laut, ikan hiasan dan burung walid amat diperlukan untuk memastikan bidang itu mampu bersaing.

"Misalnya industri ikan hiasan belum ada kajian penggunaan biosekuriti dalam ternakan ikan itu sedangkan kebanyakan negara di dunia sudah menggunakan teknologi berkenaan. Kita masih guna kaeadah lama, menyebabkan ia tidak dapat dieksport ke negara-negara Kesatuan Eropah," katanya.

Beliau berkata, kerjasama itu juga penting untuk industri pertanian di negara ini bersedia berdepan cabaran perubahan cuaca yang sudah tentu akan menjejaskan hasil pertanian. - BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan