Jenazah Enam Sekeluarga Kemalangan Jalan Raya Selamat Dikebumi

Diterbitkan: Isnin, 8 Februari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MELAKA: Jenazah enam sekeluarga yang rentung dalam satu kemalangan di Km 252, Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran plaza tol Senawang, Negeri Sembilan pagi tadi, selamat dikebumikan malam ini.

Mereka ialah Pengarah Urusan Fadhilat Herbs Sdn Bhd Suhaimi Ghazali, 41, isterinya Nor Fadilah Senin, 32, serta empat orang anak mereka, Nurul Natashahuda, 11, Mohd Daniel Iskandar, 10, Mohd Hanif Iman, 6, dan Adi Putra,2.

Kesemua jenazah dikebumikan dalam satu liang lahat di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Pegoh, Pernu dekat sini, pada pukul 7.30 malam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 pagi tadi, keenam-enam mangsa rentung apabila kereta yang mereka naiki terbakar selepas dipercayai terbabas lalu melanggar belakang sebuah treler yang diletakkan di tepi lebuh raya itu.

Mayat kesemua mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar Seremban (HTJS) untuk bedah siasat sebelum dibawa dengan tiga buah van jenazah ke Kampung Bukit Pegoh.

Kemalangan itu berlaku ketika mereka dalam perjalanan pulang ke Melaka dari Ipoh, Perak, setelah selesai urusan perniagaan dan bercuti.

Suasana sedih dan pilu menyelubungi kawasan Masjid Kariah Bukit Pegoh/Bukit Larang di sini yang dipenuhi anggota keluarga, penduduk kampung dan rakan Allahyarham dan keluarganya, sebaik tiga van jenazah yang setiap satu membawa dua jenazah tiba pada pukul 6.30 petang.

Kesemua jenazah disembahyangkan di masjid berkenaan sebelum diusung ke tanah perkuburan berkenaan untuk dikebumikan. Hadir sama Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Anggota Dewan Undangan Negeri Serkam, Datuk Ghazale Mohamad.

Bapa Allahyarham Suhaimi, Ghazali Johari, 67, berkata beliau amat sedih sebaik melihat jenazah anak dan menantu serta empat cucunya kesayangannya.

"Tengok mayat mereka, saya sedih tetapi apa boleh buat Tuhan sayangkan mereka, saya redha dengan pemergian mereka," katanya sambil mengalirkan air mata.

Ghazali berkata kali terakhir beliau bertemu dengan mereka pada Sabtu lepas sebelum mereka bertolak ke Ipoh pada pukul 2 petang.

"Sebelum mereka bertolak, mereka bersalaman dengan saya, hingga sekarang saya seolah-olah masih mendengar suara cucu-cucu berkata "sayang atuk, sayang atuk", katanya sambil menahan sebak.

Sementara itu, Mohd Ali turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Suhaimi dan Nor Fadilah.

Beliau berkata Melaka kehilangan seorang usahawan muda dalam perusahaan herba dan berharap anggota keluarga Allahyarham akan meneruskan perniagaan syarikat Fadhilat Herbs Sdn Bhd.

"Saya kenal Allahyarham, beliau adalah seorang usahawan muda yang gigih bekerja dan berjaya dalam perniagaannya," katanya. - BERNAMA

iklan

Video

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 10:55 PM

Abam Bocey Malu Manja Dengan Isteri Depan Kamera

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Jumaat, 8 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Awi Rafael - Kau Di Hatiku

Khamis, 7 Disember 2017 8:00 PM

Nadzmi Adhwa Dikurung Selepas Kantoi Dadah

Rabu, 6 Disember 2017 2:00 PM

"Makin Ramai Nak Taja Saya" - Wany Hasrita

Kolumnis

iklan

Iklan