Sekolah Latihan Nelayan Di Tanjung Manis Dalam RMK-10

Diterbitkan: Sabtu, 6 Februari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SIBU: Sebuah sekolah latihan nelayan akan diwujudkan di Tanjung Manis dalam Bahagian Mukah di bawah Rancangan Malaysia Ke-10, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar.

Beliau berkata ia bertujuan untuk membuka lebih banyak peluang kepada remaja di kawasan itu dan Sarawak pada keseluruhannya agar mereka dapat dilatih sebagai nelayan moden yang progresif.

Bercakap kepada pemberita di Lapangan Terbang Sibu sebelum berlepas ke Kuala Lumpur, malam tadi, Noh berkata Majlis Latihan Pertanian Kebangsaan (NATC) di bawah kementeriannya akan membantu merangka silibus, syarat kemasukan dan maklumat lain.

"Kami akan memulakannya dalam skala kecil, kemungkinan buat permulaan melatih 80 pelajar agar dapat mengambil lebih ramai pelajar pada masa depan.

"Objektif asasnya ialah untuk melatih remaja kita untuk menjadi nelayan yang lebih baik, berkemahiran tetapi bukan sahaja untuk meneroka laut dalam untuk menangkap tetapi kami berharap mereka akan membabitkan diri dalam kegiatan berkaitan seperti dalam industri hiliran.

Mengenai pelabuhan laut dalam yang menelan belanja RM300 juta di Tanjung Manis yang dilawatinya sebelum itu, Noh berkata ia kurang digunakan.

Beliau berkata kemudahannya termasuk kawasan dermaga 400 meter, kilang pengeluaran ais, pusat penyejukan ikan dan kawasan memproses produk marin.

Katanya pembabitan sektor swasta amat diperlukan untuk menjadikan pelabuhan itu digunakan dengan sepenuhnya.

"Saya telah bertemu dengan anggota dua pertubuhan nelayan iaitu Persatuan Usahawan Industri Nelayan dan Persatuan Nelayan Sarawak. Jika mereka dan sektor swasta yang lain boleh membantu, ia satu perkara yang baik," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan