Isu Kedutaan Asing Cuba Dapat Rahsia Negara Dianggap Selesai

Diterbitkan: Sabtu, 6 Februari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

IPOH: Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata isu kedutaan asing yang memperalatkan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk mendapatkan maklumat rahsia negara kini dianggap selesai.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid berkata beliau tidak ada sebarang kenyataan lain berhubung isu itu, yang didedahkannya pada Khamis lepas.

"Saya tidak ada kenyataan lain yang hendak dikeluarkan selain daripada apa yang telah keluar semalam," katanya kepada pemberita selepas majlis perhimpunan Menteri Pertahanan Bersama Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Negeri Perak di Dewan Bankuet di sini hari ini.

Ketika ditanya sama ada notis bantahan rasmi telah dikemukakan ke negara asing berkenaan, Ahmad Zahid berkata: "itu perkara yang telah diselesaikan oleh pihak Jabatan Perdana Menteri".

Semalam, beliau dilaporkan berkata isu itu akan diselesaikan menerusi saluran diplomatik di mana pihak yang terbabit akan diberitahu supaya tidak lagi melakukan sesuatu perkara yang boleh menjejaskan hubungan baik antara kedua-dua negara.

Ditanya mengenai dua enjin pesawat tempur F-5E milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang dikesan di Uruguay, Ahmad Zahid berkata beliau akan mengadakan perbincangan dalam waktu terdekat dengan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail berhubung usaha membawa pulang enjin itu.

Beliau berkata Jabatan Peguam Negara kini mengendalikan usaha-usaha mendapatkan kembali enjin itu, yang didapati hilang masing-masing pada 20 Disember, 2007 dan 1 Januari 2008.

Ketika mengulas tindakan kira-kira 3,000 orang dari 50 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu menyertai perhimpunan di depan pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng semalam, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Perhubungan Umno Pulau Pinang berkata ia sesuatu yang normal bagi memperlihatkan kemarahan atau ketidakpuasan hati di kalangan anggota NGO berkenaan.

Katanya ia merupakan satu manifestasi kekecewaan terhadap kerajaan negeri Pulau Pinang yang didakwa gagal membela nasib para peniaga Melayu di negeri itu.

Terdahulu, pada majlis itu seramai 23 veteran ATM yang berkhidmat antara 1 Jan 1969 dan 17 Oktober 1990 menerima Pingat Jasa Malaysia (PJM) daripada Ahmad Zahid.

Beliau turut menyampaikan bantuan wang kebajikan Skim Bantuan Persekolahan kepada 14 penerima, Skim Bantuan Sara Hidup (empat penerima), Skim Bantuan Kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (20) dan Bantuan Peralatan Pesakit (lima penerima). - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan