Taib Cadang Sistem Pengajian Perundangan Diteliti

Diterbitkan: Jumaat, 5 Februari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUCHING: Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud mencadangkan agar sistem pengajian dalam bidang perundangan diteliti untuk mempertingkatkan prestasi dan kualiti pengamal undang-undang di negara ini pada masa akan datang.

Beliau berkata, pengamal undang-undang perlu melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan yang sesuai dengan peredaran zaman khususnya kes-kes sivil dan jenayah yang semakin rumit.

"Kita perlu mencari jalan untuk meningkatkan prestasi dan kualiti pengamal undang-undang dalam menjalankan proses penghakiman. Sehubungan itu, sistem pelajaran dan latihan bagi pengamal undang-undang perlu diteliti," katanya kepada pemberita selepas melawat Kompleks Mahkamah Kuching di sini hari ini.

Hadir sama ialah Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Dr George Chan, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Melanjum dan Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Seri Mohamad Asfia Awang Nassar.

Sebelum itu, Abdul Taib yang memulakan kerjaya dalam bidang undang-undang sebagai "crown counsel" Sarawak pada tahun 1962 hingga 1963 mendengar taklimat mengenai Sistem Persidangan Video Multimedia (VCS) untuk perbicaraan di Mahkamah Teknologi Kuching di sini.

Beliau memuji sistem yang diperkenalkan Sarawak Information System Sdn Bhd (SAINS) kerana ia lebih murah, mudah dan cepat berbanding dengan proses perbicaraan biasa yang memerlukan seseorang peguam hadir di mahkamah ketika proses perbicaraan.

"Sistem persidangan video ini jauh lebih baik kerana ia dapat mempercepatkan perbicaraan kes hampir 10 kali ganda berbanding sebelum ini. Selain itu, rekod dalam mahkamah dapat disiapkan dengan lebih cepat kerana ia menggunakan komputer.

Ini telah memberi kesan positif kepada proses penghakiman di negeri ini serta satu pencapaian yang akan mempertingkatkan proses berkenaan di negeri ini, kata Abdul Taib.

Mahkamah Tinggi di Sarawak merupakan mahkamah pertama di Malaysia yang menggunakan Sistem Persidangan Video Multimedia (VCS) untuk perbicaraan mahkamah sejak Februari 2007.

Penggunaan VCS merupakan sebahagian daripada ICS yang turut mempunyai beberapa bahagian lain seperti Portal Komuniti dan Peguambela (CAP), Sistem Pengurusan Mahkamah (CMS) dan Catatan Mahkamah serta Sistem Transkripsi (CRT) untuk Mahkamah Tinggi Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan