IPT Tempatan Perlu Sentiasa Mempertingkat Mutu dan Kemudahan Sedia Ada

Diterbitkan: Jumaat, 5 Februari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Institut- institut pengajian tinggi (IPT) tempatan disaran agar mempertingkatkan mutu dan kemudahan serta mendapatkan akreditasi daripada badan-badan antarabangsa selain Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) untuk menggalakkan lebih ramai pelajar menyambung pelajaran dalam negara.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MQA Datuk Syed Ahmad Hussein jabatannya mahu kesedaran itu timbul dengan sendiri agar institut-institut pendidikan tempatan mengembangkan serta membaiki kelemahan yang ada tanpa perlu dipantau selalu.

“Ini penting agar sesebuah kursus itu diiktiraf dalam sektor swasta dan kerajaan agar dapat mewujudkan keyakinkan pada orang ramai terhadap IPT swasta dalam negara terutamanya, menawarkan servis dan pendidikan berkualiti tinggi setimpal dengan wang yang dibayar,” katanya kepada mStar Online dalam satu perjumpaan eksklusif di pejabatnya semalam.

Tambahnya, sehingga 27 Januari 2010, MQA telah mengakreditasi 2650 kursus yang ditawarkan oleh 327 buah IPT swasta.

Manakala untuk IPT awam termasuk Politeknik dan Kolej Komuniti pula, terdapat kira-kira 24 buah institut yang menawarkan 1150 kursus yang telah diakreditasi oleh badan tersebut.

Beliau juga menegaskan MQA berperanan sebagai sebuah badan yang memberi akreditasi sama ada sesebuah IPT menawarkan kursus berkualiti.

“Kami memberi perakuan akreditasi kepada institut pendidikan yang memohon kepada kami.

“Tidak semestinya sebuah institut pendidikan swasta kursusnya perlu ada akreditasi dari MQA asalkan mereka sentiasa menaik taraf kualiti serta suasana pembelajaran mereka,” jelas beliau.

Sehubungan itu, beliau berkata terdapat beberapa buah institut pendidikan swasta dalam negara yang sudah lama beroperasi dan telah meraih keyakinan dikalangan penduduk tempatan dan luar negara.

“Mereka telah pun menempa nama dalam industri pendidikan dan orang ramai tidak ragu-ragu untuk belajar di sana kerana mereka tahu institut tersebut menawarkan kursus serta suasana pendidikan yang memuaskan.

“Kalau boleh pada masa akan datang, MQA mahukan sektor pendidikan dalam negara diiktiraf bagaikan Universiti Harvard atau Universiti Yale yang terkenal kerana kualiti pendidikan,” ujarnya.

Beliau juga berkata ramai ibu bapa serta pelajar sedia maklum mengenai peranan MQA dan bertanya mengenainya apabila ingin mendaftarkan anak-anak mereka ke institut-institut pendidikan tinggi swasta khususnnya.

“Ini penting agar institut-institut pengajian tinggi yang banyak didirikan bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan menawarkan servis dan kemudahan yang baik.

“Secara tidak langsung, ini juga menggalakkan industri pendidikan dalam negara,” katanya.

Sementara itu, MQA juga sedang berbincang dengan badan seumpamanya di Australia iaitu Australian Quality Assurance (Auqa) agar semua kursus yang diakreditasi oleh badan tersebut disana juga diiktiraf oleh MQA di Malaysia dan sebaliknya.

“Ini masih lagi diperingkat perbincangan dan diharap kerjasama ini dapat memperkukuhkan lagi hubungan dua hala antara kedua-dua negara dalam sektor pendidikan,” katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan