Hari Ketiga: Saiful Pakai Seluar Dihadiahkan Anwar Pada Hari Kejadian

Diterbitkan: Jumaat, 5 Februari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes liwat melibatkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim masuk hari ketiga hari ini dengan pengadu, Mohd Saiful Bukhari Azlan menyambung keterangannya di Mahkamah Tinggi di sini.

Mohd Saiful memberitahu mahkamah bahawa dia tidak membuang air besar selama dua hari selepas didakwa diliwat oleh Anwar.

Dia turut memberi keterangan terhadap sampel-sampel yang diambil daripada badannya selain baju dan seluar dalamnya berjenama Levi's yang turut dijadikan bahan bukti.

Beliau memberitahu, seluar panjang hitam yang dipakainya pada masa kejadian adalah hadiah daripada Anwar.

Keterangannya itu membuatkan orang ramai di galeri awam yang sebelum ini khusyuk mendengar perbicaraan kes berkenaan agak terkejut.

Sementara Anwar yang berada di kandang tertuduh dan asyik menulis turut memandang ke arah bekas pembantunya itu yang sedang memberi keterangan dalam kandang saksi.

Selepas itu, beliau dilihat menoleh ke belakang sambil berkata sesuatu kepada isterinya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang berada di tempat duduk awam di belakang kandang tertuduh.

Peguam Cara II Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden yang mengetuai pasukan pendakwaan dalam pemeriksaan utama selepas bertanya kepada plaintif mengenai seluar itu, Mohd Saiful berkata, seluar panjang itu diserahkan kepada polis ketika dia berada dalam bilik tidur di rumahnya di Bandar Utama dekat sini.

Beliau berkata di rumahnya itu, turut diserahkan kepada polis termasuk seluar dalam berwarna biru gelap jenama Levi's yang dipakai semasa kejadian dan juga baju kemeja hijau jenama G2000 yang dipakai semasa membuat laporan polis.

Selain itu, beliau juga menyerahkan baju kemeja biru lembut jenama Ralph Lauren yang juga dipakai pada masa kejadian dan cecair pelincir KY Jelly kepada pegawai penyiasat kes itu di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 28 Jun 2008, dua hari selepas kejadian.

Mohd Saiful juga berkata beliau turut menyerahkan sehelai lagi seluar dalam berwarna kelabu jenama Levis yang dipakainya semasa membuat laporan polis pada 28 Jun 2008, yang diambil di tepi mesin basuh di rumah tunangnya.

Bekas pembantu peribadi Anwar itu juga turut memberitahu mahkamah bahawa seluar panjang yang dipakainya pada hari kejadian adalah hadiah daripada bekas majikannya itu.

Mohd Saiful merupakan saksi pertama yang memberi keterangan di hadapan Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah.

Anwar, 63, yang juga Anggota Parlimen Permatang Pauh, dituduh meliwat Mohd Saiful di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Dia dituduh mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan disebat jika disabit kesalahan.

Dalam pada itu, Mohd Saiful turut mengesahkan 10 barang kes lain, termasuk calitan dari bawah lidah, badan dan sekitar dubur serta sampel darah untuk profil DNA. Beliau kemudian menandatangani setiap borang serahan barang kes itu.

Pada akhir prosiding, peguam utama Anwar, Karpal Singh memohon mahkamah supaya mengeluarkan amaran kepada Utusan Malaysia berhubung gambar yang disiarkan oleh akhbar itu hari ini dengan keterangan gambar "Saiful menunjukkan katil tempat diliwat oleh Anwar Ibrahim kepada Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah".

"Bagaimanakah maklumat ini boleh bocor. Begitu juga dalam Sinar Harian," kata Karpal.

Mohamed Yusof pula berkata: "Saya percaya ada jurugambar yang masuk ketika prosiding melawat di tempat kejadian di kondominium itu, tetapi apa yang dipersetujui, apa yang diberitahu oleh saksi pendakwa pertama (Mohd Saiful) telah tiada bantahan."

Karpal berkata akhbar berkenaan menggunakan perkataan "katil" dan bukan "tempat" dan itu bukanlah apa yang berlaku semasa prosiding mahkamah terbuka.

Hakim Mohamad Zabidin berkata mahkamah tidak nampak sebarang tindakan menghina mahkamah berhubung laporan Utusan Malaysia dan Sinar Harian itu memandangkan perkataan "katil" telah pun disebut semasa prosiding mahkamah terbuka.

Sementara itu, sebanyak dua trak meriam air Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) bersama tiga trak lain yang membawa anggota pasukan terbabit masuk ke pekarangan mahkamah.

Difahamkan ia sebagai persediaan awal bagi menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya demonstrasi yang didakwa akan diadakan selepas solat Jumaat di perkarangan mahkamah oleh penyokong Anwar.

Perbicaraan disambung Isnin ini.

iklan

Video

Isnin, 23 Oktober 2017 5:54 PM

Adam, Ezlynn Tuduh Menuduh! Mana Satu Betul?

Isnin, 23 Oktober 2017 4:10 PM

Kiriman Akhir Sebelum Karam

Isnin, 23 Oktober 2017 2:30 PM

Mona Bukan Kehidupan Saya - Shahir

Isnin, 23 Oktober 2017 1:31 PM

Tragedi Tanah Runtuh: Semua Mayat Dijumpai

Isnin, 23 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Aizat Amdan Tak Lupa Dua Benda Ini!

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Kolumnis

iklan

Iklan