Tim.Pengerusi Eksekutif The Star Umum Penerbitan Akhbar BM

Diterbitkan: Khamis, 4 Februari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

IPOH: The Star, akhbar harian berbahasa Inggeris terbesar di Malaysia daripada segi jumlah pembaca, akan melancarkan edisi Bahasa Malaysia akhbar itu pada hujung bulan ini, kata Timbalan Pengerusi Eksekutif Star Publications (M) Bhd, Datuk Clement Hii.

Beliau berkata buat permulaan, edisi Bahasa Malaysia itu yang akan dinamakan Mingguan MStar akan diterbitkan sekali seminggu dan dijadikan sisipan dalam Sunday Star iaitu edisi hujung minggu akhbar itu.

"Jika edisi Bahasa Malaysia itu mendapat sambutan pembaca, kami merancang untuk menjadikannya sebagai akhbar harian di masa depan," katanya kepada pemberita selepas majlis pecah tanah pejabat baru The Star di sini hari ini.

Majlis berkenaan disempurnakan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Syarikat Star Publications sebelum ini sudahpun memiliki edisi Bahasa Malaysianya tetapi secara talian yang dinamakan mSTAR Online. Ia dilancarkan pada 31 Oktober 2005.

Terdahulu, dalam ucapannya Hii berkata, keputusan The Star untuk memiliki bangunan sendiri di Perak selepas 28 tahun menyewa di pejabat sekarang, mengambarkan usaha dan komitmen berterusan syarikat berkenaan untuk berkhidmat kepada rakyat serta negeri Perak.

Beliau berkata, edaran The Star di Perak hari ini meningkat kepada 11,000 naskhah sehari berbanding dengan hanya kira-kira 3,000 naskhah sehari pada awal 1970-an.

"Untuk tahun ini, kami berharap untuk memberi sokongan padu kepada Perak bagi terus mempromosikan negeri ini sebagai sebuah destinasi makanan yang hebat menerusi Festival Makanan Perak dan berharap dapat bekerjasama rapat dengan Menteri Besar bagi menganjurkan acara itu pada Jun ini," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan