Najib Yakin BN Melaka Terus Mantap

Diterbitkan: Khamis, 4 Februari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MELAKA: Perdana Menteri yakin kepimpinan Barisan Nasional (BN) Melaka akan terus stabil dan mantap serta mampu menunjukkan prestasi yang lebih baik pada masa akan datang.

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, banyak kerja-kerja yang telah dilakukan oleh kerajaan negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan BN Melaka amnya.

"Kerjasama dan perpaduan antara pemimpin BN di Melaka baik dan pada umumnya keadaan politik di Melaka stabil dan lebih mantap.," katanya kepada pemberita di Seri Bendahara, Ayer Keroh, di sini hari ini.

Beliau yang dalam rangka lawaan sehari ke Melaka terdahulu telah mengadakan perjumpaan lebih sejam dalam pertemuan kali pertama dengan kepimpinan BN Melaka, sejak beliau dilantik sebagai Perdana Menteri.

Turut hadir ialah MOhd Ali yang juga Pengerusi BN Melaka, Timbalan Pengerusi BN Melaka, Datuk Wira Abu Seman Yusop, pengerusi MCA Melaka Datuk Dr Wee Ka Siong, Pengerusi MIC Melaka Datuk R.Perumal serta barisan pemimpin komponen B Nnegeri.

BN Melaka menguasai lima daripada enam kawasan Parlimen serta 23 daripada 28 buah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya umum lepas sekaligus mewujudkan suasana politik stabil bagi BN Melaka.

Najib berkata, beliau telah memberi nasihat bahawa BN perlu meneruskan program yang berkaitan dan mempunyai sentuhan hati rakyat.

"Kita juga mesti jadi pemimpin yang berdedikasi untuk berkhidmat dengan rakyat," katanya.

Mengenai isu wang pembayaran cukai Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) Selangor, Najib berkata, biar rakyat "mengadili" tindakan Kerajaan Negeri Selangor dalam isu itu.

"Rakyat akhirnya akan menentukan sikap mereka (kerajaan Selangor) dalam perkara seperti ini," katanya ketika ditanya tindakan kerajaan Selangor yang akan memulangkan pembayaran tunggakan cukai tanah YBK berjumlah RM5.43 juta yang dibuat oleh Yayasan Melaka pada Isnin lepas.

Semalam, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dilaporkan sebagai berkata, bahawa pembayaran daripada Yayasan Melaka itu tidak dapat diterima kerana Seksyen 98 Kanun Tanah Negara jelas menyatakan cukai tanah hanya boleh dijelaskan oleh pemilik tanah itu sendiri.

Najib berkata, beliau telah menyerahkan kepada kepimpinan YBK untuk memberikan penjelasan kepada rakyat berhubung isu itu di samping tindakan seterusnya yang boleh dilakukan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan