Muhyiddin Umum Peruntukan RM89 Juta Untuk Sukan, Kokurikulum Sekolah

Diterbitkan: Khamis, 4 Februari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JOHOR BARU: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Kementerian Pelajaran telah bersetuju untuk memperuntukkan RM89 juta untuk aktiviti sukan dan kokurikulum di sekolah-sekolah.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, peruntukan itu akan memastikan kesemua 24 bidang sukan di bawah kalendar Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) dapat terus dipertandingkan bagi semua peringkat umur.

"Pada peringkat awal, banyak pihak merasa kecewa berikutan keputusan MSSM mengenai pemotongan itu (acara sukan) tetapi saya telah mengeluarkan arahan supaya acara-acara itu dimasukkan semula."

"Peruntukkan RM89 juta itu akan digunakan di setiap sekolah dan acara-acara sukan itu dapat digerakkan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah stadium dan kompleks sukan Educity.

Timbalan Perdana Menteri berkata, dasar balik ke sukan oleh kementerian akan diterjemahkan dengan penambahan peruntukan pada Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) untuk pembinaan infrastruktur sukan seperti padang di sekolah-sekolah.

"Di dalam RMK-10 kita akan membangunkan infrastruktur sukan di sekolah kerana sebelum ini infrastruktur sukan seperti padang tidak dibangunkan. Masih terdapat sekolah-sekolah yang tidak mempunyai padang," katanya.

Peruntukan per-kapita terhadap pelajar yang terlibat di dalam sukan katanya, juga akan ditambah.

Muhyiddin juga berkata, kementeriannya sedang di dalam proses untuk mewujudkan satu Institut Pendidikan Guru Malaysia Sukan (IPGM Sukan) khusus untuk menghasilkan jurulatih sukan di kalangan guru di dalam masa terdekat ini.

Katanya, empat lagi Pusat Kecemerlangan Sukan di kampus IPGM sedia ada di Johor, Terengganu, Sarawak serta Sabah akan diwujudkan sebagai "penghubung" kepada IPGM Sukan Raja Melewar, Seremban.

Seramai 320 calon jurulatih akan menjalani latihan merangkumi lapan bidang sukan bermula pertengahan tahun depan, kata beliau pada majlis yang turut dihadiri Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman dan Pengerusi Iskandar Investment Berhad Tan Sri Azman Mokhtar. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan