Malaysia Timbang Permohonan Unifil Tambah Anggota

Diterbitkan: Khamis, 4 Februari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUANTAN: Malaysia akan mempertimbang permohonan Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (Unifil) bagi menambah anggota Kumpulan Induk Malcon East (ME) bagi misi pengaman di negara itu.

Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Datuk Allatif Mohd Noor berkata, permohonan itu melibatkan penambahan 50 anggota termasuk 10 pegawai perubatan yang akan ditugaskan di sebuah hospital di kawasan Markas Pemerintah Unifil di daerah Naquora.

Selain itu katanya, permohonan berkenaan juga membabitkan perluasan kawasan operasi pasukan ME iaitu daripada lapan kilometer persegi kepada 16 kilometer persegi.

Beliau bagaimanapun berkata, keputusan mengenai perkara itu hanya akan diketahui apabila Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membentangkannya di Kabinet nanti untuk kelulusan.

"Sekiranya permohonan itu diluluskan, anggota yang dianggarkan 50 orang itu akan dihantar ke Lubnan bersama pasukan Batalion Malaysia 2 (Malbatt 2) yang dijadual berlepas ke Lubnan pada April depan.

"Jadi kita hanya menunggu keputusan daripada Kabinet kerana ia membabitkan peruntukan daripada kerajaan," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan pembubaran dan penganugerahan pingat Perkhidmatan Negara Bangsa-Bangsa Bersatu ME 4 di Padang Kawad Kor Armor Diraja Kem Batu 10, di sini hari ini.

Turut hadir Panglima Latihan Tentera Darat, Mejar Jeneral Datuk Che Hasni Che Ahmad, Panglima Wilayah Laut Satu Tentera Laut Diraja Malaysia, Laksamana Muda Datuk Mohd Som Ibrahim, dan Komander Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia Kuantan, Kolonel Ibrahim Hashim.

Allatif berkata, permohonan Unifil itu disifatkan sebagai penghormatan kepada Malaysia khususnya Angkatan Tentera Malaysia dalam misi memberikan perkhidmatan terbaik kepada penduduk di negara pokok Cedar itu.

Dalam pada itu, beliau turut memuji prestasi cemerlang yang ditunjukkan 300 anggota ME 4 sepanjang menjalankan tugas di negara terbabit.

"Prestasi itu diharap dikekalkan kerana segala ilmu, pengajaran dan pengalaman di Lubnan dijadikan penanda aras bagi mengukur kemampuan dan daya ketahanan sebagai anggota tentera," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan