IJN Perkenal Alat Baru Imbas Magnetik Resonan Jantung

Diterbitkan: Khamis, 4 Februari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Dengan kos sekitar RM4,000 seorang pesakit jantung sekarang boleh mendapatkan resolusi tepat dan takrifan morfologi jantung, struktur dan fungsi, hasil ciptaan terbaru Imbasan Magnetik Resonan (MRI).

Alat yang diberi nama, 'Magnetom Avanto', khusus untuk rawatan sistem jantung kini terdapat di Institut Jantung Negara (IJN) di sini, iaitu yang pertama di Asia Tenggara.

Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Datuk Seri Dr Robayaah Zambahari menjelaskan alat yang berharga RM7 juta itu adalah satu revolusi baru, teknologi terbaru ini adalah sebuah alat diagnosis tidak invasif tanpa radiasi.

Beliau berkata, ia mampu menghasilkan imej berkualiti tinggi, memberi visual lebih baik bagi morfologi, struktur dan fungsi sistem kardiovaskular.

Antara enam hingga lapan pesakit jantung boleh menggunakan kemudahan 'Magnetom Avanto' setiap hari, katanya dan menambah sehingga kini 50 pesakit telah memperoleh faedah daripada alat tersebut sejak dilancarkan pertengahan bulan lepas.

"Dengan penilaian awal dan tepat, rawatan sesuai dan berkesan boleh dimulakan awal, bagi penyakit jantung.

"MRI 'Magnetom Avanto' boleh juga digunakan untuk mendiagnos penyakit strok yang tenat, penyakit-penyakit vaskular, kanser dan kecederaan sewaktu bersukan tanpa menggunakan sinar X," kata Dr Rabayaah kepada pemberita selepas pelancaran 'Magnetom Avanto' oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin di IJN di sini, hari ini.

IJN, pusat perubatan terbaik bagi rawatan kardiovaskular dan torasik merupakan sebuah syarikat milik penuh di bawah Kementerian Kewangan.

Dr Awang Adek berkata, dengan pengenalan 'Magnetom Avanto' bukan sahaja memberi fokus lebih baik dalam bidang kepakarannya tetapi juga akan mendorong IJN meningkat ke fasa yang baru dan menarik.

"Sebagai sistem kardium pertama khusus untuk penyakit jantung, MRI MAGNETOM Avanto adalah yang pertama di Asia Tenggara. Ia sesuatu untuk dibanggakan, bukan sahaja untuk IJN tetapi juga kerajaan," kata Awang Adek dalam ucapannya.

Beliau berkata, faktor risiko utama untuk penyakit jantung termasuk tekanan darah tinggi, kandungan kolesterol dalam darah yang tinggi, merokok, kencing manis, tidak melakukan aktiviti fizikal dan pemakanan tidak berkhasiat.

"Pada 2006, penyakit jantung merupakan punca kematian kedua tertinggi, iaitu sebanyak 15.5 peratus daripada pesakit yang meninggal dunia di hospital kerajaan. Dengan peralatan ini, pengurusan pesakit dapat dipertingkatkan dari masa pesakit dimasukkan ke hospital sehingga mereka keluar hospital," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan