Wajib Lulus BI: PIBGN, NUTP Mahu Kerajaan Kaji Dulu

Diterbitkan: Rabu, 3 Februari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Kerajaan diminta membuat kajian secara terperinci sebelum mewajibkan Bahasa Inggeris sebagai subjek wajib lulus untuk semua calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan menegaskan, dasar pengajaran Bahasa Melayu (BM) dan Bahasa Inggeris (BI) perlu diimplementasi secara komprehensif dan berkesan sebelum ia dilaksanakan.

"Kerajaan perlu pastikan semua sekolah terutamanya di kawasan luar bandar perlu ada guru terlatih yang cukup untuk mengajar subjek BI," katanya kepada mStar Online hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai cadangan kerajaan mewajibkan semua calon peperiksaan SPM lulus subjek BI.

Semalam, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran dilaporkan berkata, langkah itu selari dengan tumpuan kerajaan untuk meningkatkan penguasaan BI di kalangan pelajar dan dijangka akan dilaksanakan mulai tahun depan.

Sebelum itu, Timbalannya, Dr. Mohd. Puad Zarkashi memberitahu, dasar mewajibkan calon SPM lulus BI kemungkinan akan dilaksanakan mulai 2012.

Mengulas lanjut isu berkenaan, Mohamad Ali berkata, guru BI di sekolah juga perlu menggunakan modul pengajaran yang efektif dan terkini agar ia mudah difahami oleh pelajar.

"Kerajaan juga perlu menyediakan kemudahan seperti makmal Bahasa Inggeris di semua sekolah untuk memberi perhatian yang khusus kepada pelajar yang tercicir dan mereka yang mempunyai masalah untuk menguasai subjek itu.

"Saya lihat banyak sekolah di luar bandar masih tidak mempunyai kemudahan sebegini. Jadi bagaimana kita mahu wajibkan syarat lulus BI untuk mendapat sijil SPM.

"Kalau pelajar di kawasan bandar mungkin tidak ada masalah, tapi bagaimana dengan pelajar di luar bandar. Kita tidak mahu golongan itu terus ketinggalan dan tercicir," ujarnya.

Tambahnya, sebelum kerajaan melaksanakan langkah itu mereka perlu memperbaiki sistem pengajaran dan pembelajaran BI itu bagi memastikan pelajar di kawasan luar bandar tidak akan tercicir.

"Jika guru besar di Sekolah Beprestasi Tinggi (SBT) diberikan insentif khas, apa salahnya guru-guru yang mengajar subjek BI terutamanya di kawasan luar bandar diberi insentif yang sama.

"Langkah ini akan dapat menjadi pendorong kepada guru-guru BI dan pelajar itu sendiri untuk mencapai keputusan yang cemerlang dalam usaha melahirkan pelajar yang fasih BM dan BI," katanya.

Justeru, jika semua syarat tersebut telah mampu dilaksanakan oleh pihak kerajaan pihak PIBGN katanya, tidak ada masalah dengan langkah kerajaan mewajibkan BI sebagai syarat lulus SPM.

"Sudah tiba masanya kita lahirkan lebih pelajar yang bersifat glokal dan mampu bersaing di peringkat antarabangsa," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Pheng berkata, kajian yang mendalam perlu dijalankan terlebih dahulu sebelum menjadikan BI sebagai syarat wajib lulus dalam SPM.

"Kerajaan tidak boleh laksanakan serta-merta cadangan tersebut. Pelajar dan guru perlu membuat persediaan awal dengan menguasai BI sebelum langkah tersebut dilaksanakan.

"Kita setuju dengan cadangan kerajaan itu, namun kerajaan tidak boleh laksanakannya dalam tempoh terdekat kerana langkah itu akan memberi impak yang besar kepada prestasi pelajar di kawasan luar bandar khususnya," katanya.

iklan

Video

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Selasa, 14 November 2017 9:00 AM

“Penat..Tapi Best!” - Nad Zainal

Kolumnis

iklan

Iklan