Pendakwaan Akan Buktikan Air Mani Anwar Ada Dalam Spesimen Saiful

Diterbitkan: Rabu, 3 Februari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan akan mengemukakan keterangan bahawa kesan air mani daripada spesimen yang diambil dari dubur Mohd Saiful Bukhari Azlan yang telah disahkan oleh Jabatan Kimia, milik Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membuktikan kesalahannya meliwat Mohd Saiful.

Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden dalam ucapan pembukaannya berkata, selain keterangan langsung Mohd Saiful dalam perbicaraan, pihak pendakwaan akan mengemukakan keterangan forensik oleh doktor-doktor dan ahli kimia, di samping keterangan mengikut keadaan serta keterangan dokumentar.

Beliau berkata, pihak pendakwaan akan membawa keterangan bahawa pada 26 Jun 2008 kira-kira 10.30 pagi semasa di pejabat Anwar, tertuduh telah meminta Mohd Saiful, yang ketika itu pembantu khasnya untuk pergi ke Kondominium Desa Damansara lebih kurang 2.30 petang pada hari yang sama.

Pada 1.45 petang, Mohd Saiful keluar dari pejabat tertuduh menuju ke Kondo Desa Damansara dan tiba di kondo tersebut kira-kira 3 petang.

Di kondo berkenaan, Mohd Saiful kemudian pergi ke Unit 11-5-1, di tingkat 5. Apabila Mohd Saiful masuk ke unit tersebut, dia melihat tertuduh sedang duduk di meja makan seorang diri.

"Di unit itu, Mohd Saiful telah diliwat oleh tertuduh dan mangsa telah meninggalkan unit itu jam lebih kurang 4 petang," jelas Mohamed Yusof.

Seterusnya pada 28 Jun 2008, Mohd Saiful membuat laporan polis di Balai Polis Travers mengenai kejadian liwat tersebut. Pada hari yang sama, Mohd Saiful menjalani pemeriksaan di Hospital Kuala Lumpur berhubung kejadian liwat berkenaan.

"Sampel-sampel tisu termasuk dari bahagian luar dan dalam dubur Mohd Saiful telah diambil oleh doktor yang memeriksanya untuk ujian DNA," kata Mohamed Yusof. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan