Kerajaan Selangor Akan Pulangkan Wang Pembanyaran Cukai YBK

Diterbitkan: Rabu, 3 Februari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor akan memulangkan pembayaran tunggakan cukai tanah Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) berjumlah RM5.43 juta yang dibuat oleh Yayasan Melaka pada Isnin lepas, kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Beliau berkata kerajaan negeri tidak dapat menerima pembayaran daripada Yayasan Melaka itu untuk menjelaskan tunggakan cukai tanah YBK kerana Seksyen 98 Kanun Tanah Negara jelas menyatakan cukai tanah hanya boleh dijelaskan oleh pemilik tanah itu sendiri.

Oleh itu, kerajaan negeri telah mengarahkan Pejabat Daerah Hulu Selangor memulangkan wang tersebut dalam bentuk cek mulai hari ini dan esok kepada YBK, katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri di sini hari ini.

Mengenai usaha YBK dengan Yayasan Melaka, menurutnya kerajaan Negeri Selangor berpendapat ini adalah satu idea berasingan serta tidak melibatkan kerajaan negeri dan terpulanglah kepada Yayasan Melaka untuk bekerjasama dengan YBK atau tidak.

Laporan akhbar semalam berkata Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam mengesahkan bahawa Yayasan Melaka telah membuat pembayaran tunggakan cukai tanah YBK berjumlah RM5.43 juta.

Dalam pembentangan wakil Pejabat Tanah dan Galian dan Pejabat Daerah Hulu Selangor kepada exco negeri hari ini, Abdul Khalid berkata YBK telah diberi milik 33 lot tanah seluas 876 hektar oleh kerajaan terdahulu pada 24 Oktober 1994.

Pada November 1995, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri telah meluluskan pengurangan pembayaran premium bagi tanah YBK itu daripada RM10,000 seekar kepada RM15 seekar, katanya.

Beliau berkata YBK tidak pernah menjelaskan cukai tanah sejak ia dianugerahkan hinggalah pada Ogos 2009 lepas di mana YBK cuba membuat pembayaran untuk sebahagian daripada jumlah cukai yang tertunggak, katanya.

Ditanya jumlah cukai tanah YBK yang tertunggak, Abdul Khalid berkata beliau tidak memberi jumlah yang tepat tetapi berkata antara RM5 dan RM6 juta.

Beliau juga menafikan tanah YBK itu telah dirampas berikutan penolakan pembayaran Yayasan Melaka itu tetapi jika tindakan tersebut dilakukan, ia mestilah menurut prosedur dan lunas undang-undang.

Oleh itu, beliau berkata YBK perlu membuat rayuan bertulis kepada kerajaan negeri untuk menyelesaikan masalah tunggakan cukai tanah itu dan juga mengenai kedudukan tanah berkenaan supaya dapat dipertimbangkan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Abdul Khalid juga berkata penolakan cadangan pembangunan tanah YBK di Serendah itu tidak ada kaitan dengan Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang sememangnya kerajaan negeri berminat agar kampus baru berkenaan dibina di situ.

Sementara itu, Pengerusi YBK Datuk Zainal Abidin Sakom ketika dihubungi di sini hari ini berkata YBK sedang berbincang dengan peguam-peguam bagi menentukan tindakan yang sesuai untuk diambil dalam menyelesaikan perkara ini.

Beliau berkata YBK telah membuat pembayaran berjumlah RM180,000 bagi tunggakan cukai tanah itu pada 29 Januari lepas.

Antara punca YBK tidak membayar kesemua cukai tanahnya di Serendah itu kerana tanah tersebut masih belum dibangunkan untuk dibayar premiumnya dan isu itu timbul baru-baru ini apabila UiTM menawarkan projek pembinaan kampus barunya di tanah milik YBK tersebut, tambah beliau. -BERNAMA

iklan

Video

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Kolumnis

iklan

Iklan