Kenyataan Bekas Pegawai PM Disalah Tafsir: Kelab Belia Graduan

Diterbitkan: Rabu, 3 Februari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Kenyataan berunsur perkauman yang didakwa dibuat oleh Pegawai Khas kepada Perdana Menteri, Datuk Nasir Safar, pada seminar 1Malaysia di Melaka semalam, telah disalah tafsir, kata Timbalan Pengerusi Kelab Belia Graduan 1Malaysia, Najieb Mokhtar.

"Beliau telah mengendalikan 60 ceramah sepanjang tahun lepas dan pada tahun ini sahaja sebanyak 22 ceramah, dan tidak pernah wujud sebarang penyalahtafsiran selama ini dan ketidak fahaman selama ini. Kami yakin isu ini timbul akibat provokasi," katanya kepada pemberita hari ini.

Seramai 20 orang wakil kelab itu berkumpul di hadapan pondok pengawal Jabatan Perdana Menteri hari ini bagi memberi sokongan kepada Nasir yang didakwa mengeluarkan kata-kata pada satu seminar yang menyinggung perasaan kaum-kaum tertentu.

Semalam, Pejabat Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan bahawa Nasir akan meletak jawatan.

Najieb berkata, beliau turut hadir pada seminar itu semalam dan tidak berlaku boikot acara berkenaan seperti yang didakwa.

"Terdapat 1,000 orang daripada pelbagai kaum yang hadir. Adalah dalam lima orang yang meninggalkan dewan sedangkan yang lain memberi tepukan ketika Datuk (Nasir) hendak beredar," katanya.

Najieb berharap Nasir tidak akan meletak jawatan kerana beliau masih mampu menyumbang khidmat yang baik dalam melaksanakan misi Perdana Menteri. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan