Kastam Terengganu Beku Cuti Anggota

Diterbitkan: Rabu, 3 Februari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Terengganu akan membekukan cuti semua anggotanya bermula minggu ini sebagai langkah awal membendung kegiatan penyeludupan barangan terlarang menjelang sambutan Tahun Baru Cina.

Pengarah Kastam negeri, Datuk Azis Yacub berkata, kegiatan penyeludupan barangan terlarang seperti mercun, bunga api serta arak dijangka akan meningkat ekoran permintaan yang tinggi pada musim perayaan.

"Untuk itu, kita akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memantau semua pintu-pintu masuk utama ke negeri ini samada menerusi jalan laut mahupun darat.

"Kita juga tidak akan bertolak ansur dalam hal ini dan akan membanteras habis-habisan kemasukan barangan terlarang ke negeri ini," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Selain memantau pintu masuk ke negeri ini, Azis berkata, pihaknya bekerjasama dengan polis untuk melakukan rondaan ke setiap kawasan perumahan dan akan mengambil tindakan ke atas mana-mana pihak yang memiliki barangan terlarang dan seludup.

Azis berkata, pihaknya juga merancang untuk menjadikan beberapa kawasan pantai di negeri ini sebagai lokasi pemantauan bagi membendung kegiatan penyeludupan.

Sementara itu, beliau berkata, sehingga ke hari ini, pihak Kastam telah berjaya merampas tujuh tan bunga api dan mercun yang dipercayai untuk pasaran Tahun Baru Cina, awal bulan lepas.

Bagi menjayakan operasi membanteras penyeludupan, Azis berkata, pihaknya mengalu-alukan kerjasama daripada orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkenaan aktiviti penyeludupan.

"Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada pejabat Kastam yang berdekatan," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan