Jumpa Saya Kalau Ada Masalah - Ketua Polis Kelantan

Diterbitkan: Rabu, 3 Februari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA BAHARU: Ketua Polis Kelantan Datuk Abdul Rahim Hanafi hari ini meminta pegawai dan anggota polis di negeri itu menemuinya bagi membincangkan masalah yang dihadapi mereka sama ada semasa menjalankan tugas mahupun peribadi.

Abdul Rahim berkata beliau akan cuba membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi demi memastikan kesejahteraan pegawai dan anggota terlibat.

"Saya amat mengambil berat masalah mereka dan apa yang berlaku kepada satu dua kes baru-baru ini amat mendukacitakan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Taklimat Meningkat Kualiti Dalam Perkhidmatan Bagi Pegawai/Anggota India Kontinjen Kelantan, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika merujuk kepada insiden dua anggota pasukan itu yang ditemui mati ketika bertugas, masing-masing di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Gua Musang dan Kuala Krai pada bulan lepas dipercayai membunuh diri.

Abdul Rahim juga meminta pegawai dan anggota pasukan agar tidak teragak-agak untuk menemuinya.

Beliau seterusnya mencadangkan agar pertemuan yang dianjurkan pegawai dan anggota keturunan India itu dicontohi oleh yang lain demi mengeratkan hubungan antara mereka.

"Saya berharap perjumpaan seperti ini diadakan sebulan sekali bagi mendapat pandangan rakan-rakan di samping menyelesaikan masalah yang dialami," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan