Anwar Ajak Saiful Adakan Hubungan Seks Luar Tabii

Diterbitkan: Rabu, 3 Februari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini yang memulakan perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini, digemparkan dengan dakwaan mangsa Mohd Saiful Bukhari Azlan bahawa beliau diajak oleh ketua pembangkang itu untuk mengadakan hubungan seks di luar tabii.

Mohd Saiful, 24 yang merupakan saksi pertama pendakwaan berkata perkara itu berlaku pada 26 Jun 2008 selepas beliau dan Anwar selesai berbincang mengenai jadual kerja di sebuah unit kondominium Desa Damansara di sini.

Anwar mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan pada perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah Anwar, penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Anggota Parlimen Permatang Pauh, dituduh meliwat Mohd Saiful di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008. Beliau didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika disabit kesalahan.

Perbicaraan bermula 18 bulan selepas Anwar didakwa di mahkamah pada Ogos 2008.

Ketika pemeriksaan utama oleh Peguam Cara Negara II Datuk Mohd Yusof Zainal Abidin, Mohd Saiful berkata pelawaan Anwar itu dibuat selepas beliau menyerahkan dokumen yang dibawanya dari pejabat kepada Anwar.

Mohd Yusof: Apa buat dengan dokumen bila masuk?

Mohd Saiful: Saya duduk di meja tersebut bertentangan dengan Anwar dan serahkan dokumen.

Mohd Yusof: Duduk, letak dokumen, apa lepas itu?

Mohd Saiful: Lepas serah dokumen, kami bincang tentang jadual kerja, tidak lama lepas itu beliau tanya satu soalan.

Mohd Yusof: Apa soalan itu?

Mohd Saiful: Can I f- you today?

Mohd Yusof: Apa reaksi kamu ketika diajukan soalan itu?

Mohd Saiful: Marah dan takut.

Mohd Yusof: Ada kamu kata apa-apa?

Mohd Saiful: Tolak pelawaannya.

Mohd Yusof: Apa kamu kata bila menolak?

Mohd Saiful: Saya kata saya tidak mahu melakukannya.

Mohd Yusof: Anwar kata apa-apa bila kamu kata tidak hendak melakukannya?

Mohd Saiful: Dengan nada marah, Anwar kata "what" (apa)?

Mohd Yusof: Apa respon kamu?

Mohd Saiful: Saya ulang yang sama.

Mohd Yusof: Seterusnya?

Mohd Saiful: Anwar agak marah, dengan itu saya takut. Anwar arahkan ke bilik tidur utama.

Mohd Saiful berkata beliau kemudian mengikut arahan Anwar dan Anwar selepas itu menutup langsir dan lampu bilik.

Beliau berkata Anwar seterusnya meminta beliau untuk membersihkan dirinya di bilik air.

Mohd Yusof: Masa itu dah buka pakaian?

Mohd Saiful: Ya.

Mohd Yusof: Lepas bilas diri?

Mohd Saiful: Saya ambil tuala dalam tandas, saya keluar dengan bawa baju kemeja saya warna putih dan gantung di tempat pemegang almari.

Mohd Yusof: Kamu bertuala?

Mohd Saiful: Saya bertuala.

Mohd Yusof: Masa keluar dari bilik air, nampak di mana Anwar?

Mohd Saiful: Saya nampak, Anwar di hujung penjuru katil, di bahagian kaki sebelah kanan.

Mohd Yusof: Apa Anwar buat pada masa itu? Mohd Saiful: Dia berdiri pakai tuala putih dan mengarahkan saya untuk pergi dekat dia, lalu dia peluk saya sambil berdiri. Ketika itu, peguam Karpal Singh yang mewakili Anwar membuat permohonan agar prosiding seterusnya dijalankan secara tertutup.

Permohonan itu dibenarkan oleh hakim untuk perbicaraan yang bersambung esok.

Sebelum itu, Mohd Saiful, 25, berkata beliau pergi ke kondominium tersebut dengan menaiki sebuah van dan tiba di hadapan pondok pengawal pada kira-kira pukul 2.15 petang dan hanya perlu menyebut perkataan "Mokhtar" sebelum dibenarkan masuk.

Mohd Saiful berkata beliau pernah pergi ke kondominium tersebut untuk bertemu Anwar di sebuah unit lain yang dimiliki rakan tertuduh bernama "Hasanuddin".

"Untuk sampai ke unit bernombor 1152, saya terpaksa menaiki lif dan menggunakan intercom, dan setiap kali mendengar suara lelaki yang sama menjawab sebelum pintu unit itu dibuka," jelas Mohd Saiful.

Beliau kata sebaik sahaja bilik itu dibuka, beliau melihat Anwar duduk di meja makan.

Mohd Saiful berkata beliau hanya bekerja dengan Anwar selama empat bulan iaitu pada awal Mac 2008 sehingga 28 Jun tahun yang sama dan berhenti sebagai pembantu peribadinya kerana tidak sanggup lagi diliwat oleh majikannya itu.

Mohd Saiful yang berkot biru gelap dan kemeja biru berkata beliau tidak memberikan surat peletakan jawatan kepada Anwar tetapi memberitahu mengenai perkara itu melalui e-mel yang dihantar menerusi blackberrynya kepada e-mel Anwar pada 27 Jun 2008.

Dalam e-mel itu, beliau memberitahu Anwar alasannya berhenti kerja kerana dua sebab iaitu beliau tidak berdisiplin ekoran selalu datang lambat ke pejabat dan kurang kelayakan.

Ditanya Mohamed Yusof mengapa beliau berhenti kerja Mohd Saiful berkata beliau tidak rela lagi diperlakukan seperti dalam pertuduhan.

Bagaimanapun apabila ditanya kali kedua kenapa beliau berhenti kerja, katanya beliau tidak sanggup lagi diperlakukan seperti dalam pertuduhan itu.

Mohd Saiful berkata disebabkan beliau mula bekerja seminggu sebelum pilihan raya umum ke-12, beliau ditugaskan sebagai sukarelawan iaitu mengatur jadual perjalanan pilihan raya dan program pilihan raya bagi Anwar.

Setelah dua bulan bekerja, iaitu pada April beliau dilantik sebagai pembantu peribadi tetapi tiada surat pelantikan diberikan kepadanya.

Selaku pembantu peribadi, Mohd Saiful berkata beliau mempunyai empat tugas iaitu mengatur pertemuan sulit Anwar untuk berkomunikasi dengan ejen anggota-anggota Parlimen yang ingin lompat parti, membantu Ibrahim Yaakub iaitu pembantu khas Anwar bagi mengatur jadual Anwar, membuat filing dokumen sulit Anwar seperti penyata bank dan mengawal selia telefon bimbit peribadi Anwar pada setiap pagi seperti memeriksa khidmat pesanan ringkas (SMS) dalam telefon itu.

Mohd Saiful berkata beliau dibayar gaji secara rasmi sebanyak RM1,000 sebulan dan diberikan elaun USD$1,000 dan HKD$10,000, bergantung pada lawatan yang diikutinya.

Ketika ditanya Mohamed Yusof mengenai tahap pendidikannya, Mohd Saiful berkata pada tahun 2003 beliau telah mengikuti kursus Landasan Kejuruteraan Kuasa Elektrik di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), kemudiannya ditawarkan mengikuti kursus yang sama pada peringkat ijazah.

Bagaimanapun beliau tidak menamatkan pengajiannya kerana gagal dalam peperiksaan.

"Keputusan saya sangat teruk. Saya malu dan tertekan dan bertindak tamatkan pengajian," katanya.

Mohd Saiful juga diminta Mohamed Yusof membaca dalam hatinya laporan polis yang dibuat pada 28 Jun 2006, dua hari selepas kejadian, mengenai kes liwat itu.

Ketika Mohamed Yusof mengemukakan soalan, siapa yang membawa beliau ke balai polis Jalan Travers untuk membuat laporan, Karpal Singh memohon mahkamah untuk membatalkan perkataan "kejadian kali terakhir" di barisan tiga dalam laporan polis itu. Karpal berkata perkataan-perkataan "kejadian kali terakhir" memberi maksud adanya kejadian-kejadian lain sebelum 26 Jun 2008.

Mohamed Yusof berkata laporan polis itu ditulis berdasarkan apa yang diberitahu oleh pengadu dan pihak pendakwaan tidak boleh menghalang laporan tersebut dibuat.

Mohamed Yusof berkata walaupun ayat itu ada tertera dalam laporan polis tersebut, pihak pendakwaan akan hanya menjuruskan kes berkenaan mengikut kertas pertuduhan. Hakim Mohamad Zabidin Mohd Diah membenarkan permohonan Karpal Singh untuk membatalkan perkataan itu kerana ia akan membawa maksud adanya kejadian lain sebelum itu.

Dalam ucapan pembukaannya, Mohd Yusof berkata pihak pendakwaan akan mengemukakan keterangan bahawa kesan air mani daripada spesimen yang diambil dari dubur Mohd Saiful yang telah disahkan oleh Jabatan Kimia, milik Anwar.

Mohamed Yusof dibantu oleh tujuh timbalan pendakwa raya yang terdiri daripada Datuk Nordin Hassan, Mohamad Hanafiah Zakaria, Wong Chiang Kiat, Noorin Badaruddin, Farah Azlina Latiff, Mira Mirna Musa dan Naidatul Athirah Azmad.

Selain Karpal Singh, Anwar juga diwakili peguam Datuk Param Cumaraswamy, Datuk C.V. Prabakharan, Ram Karpal Singh Deo, S. N. Nair, Mohd Radzlan Jalaludin dan Marisa Regina Fernando. - BERNAMA

iklan

Video

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Kolumnis

iklan

Iklan