98,747 Anggota, Pegawai Polis Nikmati Skim Gaji Baru

Diterbitkan: Rabu, 3 Februari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Seramai 98,747 anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menikmati skim perkhidmatan baru yang membolehkan mereka mendapat penyelarasan tiga pergerakan gaji tahunan dan kenaikan elaun Imbuhan Tetap Khidmat Polis (ITKP).

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ketika mengumumkan perkara itu hari ini berkata skim perkhidmatan baru itu berkuatkuasa pada 1 Januari tahun lepas namun tarikh pembayaran gaji mengikut skim baru itu masih belum ditetapkan.

Skim baru itu akan membolehkan mereka menikmati gaji sekurang-kurangnya RM1,500 hingga RM6,000 bergantung kepada pangkat dan perubahan jadual gaji matriks, katanya kepada pemberita selepas mesyuarat pasca kabinet kementeriannya di sini hari ini.

"Ini merupakan usaha berterusan kementerian dalam menjaga kepentingan dan kebajikan anggota polis di seluruh negara," katanya.

Menurut beliau, pemberian gaji sebanyak itu bersesuaian dengan perubahan daripada segi kelayakan masuk Inspektor yang telah dinaik taraf daripada kelulusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM)/Diploma kepada Ijazah Sarjana Muda (Kepujian), Sarjana dan Doktor Falsafah (Ph.D).

Bagaimanapun, Hishammuddin menjelaskan bagi kategori pegawai rendah polis dan konstabel, pengurusan tertinggi PDRM masih berurusan dengan pihak agensi pusat untuk memperhalusi skala gaji termasuk imbuhan tetap.

"Penolong Penguasa Polis akan mendapat gaji matriks yang baru sebanyak RM2,130 iaitu kenaikan sebanyak RM69.72 berbanding RM2,060.28 manakala gaji akhir ialah RM5,170.53 berbanding skim lama iaitu RM4,962.39 dengan kenaikan sebanyak RM208.14," katanya.

Beliau berkata anggaran pergerakan gaji bagi Inspektor dinaikkan kepada RM2,060.28 berbanding RM1,423.50 mengikut skim lama manakala gaji akhir pada RM3,710.66 telah dinaikkan kepada RM4,962.39.

"Untuk Sarjan Lantikan, kemasukan baru adalah dengan menggunakan syarat kelayakan STPM/Diploma manakala wajaran pengambilan adalah sebanyak 20 peratus dari jumlah jawatan Sarjan," katanya.

Hishammuddin berkata kategori Sarjan dan Sarjan Mejar masing-masing menerima penambahan tiga skala tangga gaji akhir dalam skim baru iaitu daripada P1T15 kepada P1T18 dan P1T12 kepada P1T15.

"Bagi Sub Inspektor pula, ia turut melibatkan penambahan tiga skala tangga gaji akhir dalam skim baru iaitu dari P1T12 kepada P1T15," katanya.

Sementara itu mengulas mengenai anggaran pergerakan elaun untuk setiap kategori pegawai dan anggota, Hishammuddin berkata tiga kategori meliputi Sarjan, Sarjan Mejar dan Sub Inspektor akan mendapat perubahan Imbuhan Tetap Khidmat Polis (ITKP) daripada RM115 kepada RM160, melibatkan pertambahan sebanyak RM45.

"Bagi Inspektor yang telah dikategorikan dalam Kumpulan Pengurusan dan Profesional kerana syarat kemasukan telah dinaik taraf, mereka akan menerima pertambahan ITKP sebanyak RM140 menjadikan jumlah elaun kepada RM300 berbanding RM160 sebelum ini.

"Penolong Penguasa Polis pula akan mendapat tambahan IPTK sebanyak RM50, menjadikan jumlah elaun mereka RM350 berbanding RM300 sebelum ini manakala Timbalan Penguasa Polis akan menerima pertambahan sebanyak RM100 menjadikan elaun mereka RM400 berbanding RM300," katanya.

Penguasa Polis pula akan menerima tambahan RM150 menjadikan elaun mereka berjumlah RM450 berbanding RM300 sebelum ini, katanya. - BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Rabu, 13 September 2017 2:00 PM

Saya Tak Jual Rupalah! - Erwin Dawson

Rabu, 13 September 2017 9:00 AM

EKSKLUSIF! Kisah Elizabeth Tan Nak Bunuh Diri

Kolumnis

iklan

Iklan