PMINT Sasar 200 Peniaga IKS Terangganu Dinaik Taraf

Diterbitkan: Selasa, 2 Februari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) hari ini mensasarkan kira-kira 200 peniaga Industri Kecil dan Sederhana (IKS) negeri itu akan berupaya menaiktaraf perniagaan mereka di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

Timbalan Pengurus Besar PMINT, M. Harith Hassan berkata pihaknya telah mengemukakan pemohonan peruntukan kepada Kementerian Kewangan sebanyak RM120.6 juta dan RM17.27 juta daripadanya adalah untuk projek keusahawanan. "Peniaga IKS seperti peniaga jagung, kacang rebus, air nira, goreng pisang, ikan celup tepung, keropok lekor dan sebagainya di negeri ini yang berdaftar dengan majlis perbandaran dan mempunyai lesen perniagaan yang sah, kita akan beri bantuan menaiktaraf gerai mereka.

"Kita tidak akan memindahkan mereka, cuma apa yang kita akan buat ialah kita akan naiktarafkan gerai milik mereka ini supaya lebih kemas, teratur dan cantik," katanya kepada pemberita selepas merasmikan kursus ketrampilan diri, di sini hari ini.

M.Harith berkata selain itu PMINT juga akan melaksanakan tiga lagi program di bawah projek keusahawanan sepanjang tempoh RMK-10 iaitu inkubator perniagaan, pembudayaan keusahawanan dan hub usahawan. Menurutnya, di bawah program Pembangunan Keusahawanan 2010 pula pihaknya telah merancang 31 program untuk dilaksanakan.

Mengenai Program Usahawan Muda (PUM) dan Program Perintis Usahawan (PPU), yang telah dilaksanakan sejak 13 tahun lepas, M.Harith berkata pada tahun ini sejumlah RM900,000 diperuntukkan, melibatkan 68 buah sekolah iaitu 56 buah sekolah menengah dan 12 buah sekolah di seluruh Terengganu. "Pelajar sekolah rendah akan kita masukan di bawah PPU manakala sekolah menengah di bawah PUM. Di bawah kedua-dua program ini, kita juga telah merancang untuk mengadakan sebanyak 13 kursus atau seminar sepanjang tahun ini," katanya.

Selain itu, beliau berkata PMINT dan Persatuan Francais Malaysia (MFA) akan mengadakan kursus pengenalan francais kepada masyarakat di negeri ini yang dijangka diadakan di Taman Tamadun Islam pada bulan depan. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan