PM Umum Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia Bernilai RM37.6 Juta

Diterbitkan: Isnin, 1 Februari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak (tengah) menyerahkan
Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak (tengah) menyerahkan "mock cheque" bernilai RM20 juta sumbangan dari Kerajaan Malaysia kepada Yayasan Wilayah Persekutuan kepada Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin pada majlis pelancaran Sambutan dan Festival Hari Wilayah Persekutuan 2010 di Dataran Mendeka di sini, malam tadi. Turut sama Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (kiri).-Foto BERNAMA.

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan peruntukan RM37.6 juta untuk Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia disediakan bagi tujuan penyelengaraan rumah kos rendah milik swasta, terutamanya rumah flat, di bandar raya ini.

Mengumumkan peruntukan itu semasa melancarkan sambutan dan festival Hari Wilayah Persekutuan 2010, Perdana Menteri berkata Kerajaan Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM20 juta, Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar RM5juta, Dewan Bandar Kuala Lumpur (DBKL) RM10 juta dan firma swasta RM2.6 juta.

Sambutan dan festival itu diadakan sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan secara serentak bagi ketiga-tiga wilayah iaitu Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Najib berkata peruntukan itu adalah untuk melaksanakan antara lain penyelenggaraan lif, kerosakan bumbung, mengecat bangunan dan pelbagai kerosakan umum yang lain.

Bagaimanapun, pembiayaan bagi membaik pulih rumah dan flat kos rendah ini akan dikeluarkan melalui geran padanan, dengan kerajaan akan mengeluarkan peruntukan yang sama dengan jumlah peruntukan yang dihasilkan oleh badan pengurusan bersama bangunan berkenaan.

"Kita akan bekerjasama dengan joint management corporation (perbadanan pengurusan bersama) dan akan menetapkan geran padanan. Jika joint management corporation keluar RM100,000, kerajaan akan keluar RM100,000.

"Dengan ini tanggungjawab itu didokong bersama penghuni flat dan kerajaan. Jika penghuni menyumbang, mereka akan memainkan peranan menjamin keadaan (flat dan rumah yang dibaik pulih) dapat dipertahankan," katanya.

Perdana Menteri berkata jika bantuan kewangan itu diberikan percuma, penghuni rumah atau flat kos murah swasta itu akan lepas tangan, dan usaha membaik pulih rumah-rumah terbabit tidak dapat dipertahankan.

Najib berkata sambutan terhadap penjualan 44,000 unit rumah program perumahan rakyat (PPR) Majlis Tindakan Ekonomi Negara dan perumahan awam (PPA) DBKL setakat ini menggalakkan dengan 25,000 penghuni PPR dan PPA bersetuju menerima penjualan unit rumah itu.

Kerajaan telah memperuntukkan RM250 juta untuk penyelengaraan rumah-rumah PPR, PPA dan "usaha kita tidak akan terhenti setakat ini," katanya.

Najib juga berkata beliau akan meneruskan aktiviti tinjauan mesranya di Kuala Lumpur dengan bercadang untuk melawat Kampung Baru bagi membincangkan pelan pembangunan kampung itu yang telah terhenti sekian lama.

Beliau turut melahirkan rasa puas hati dengan hasil lawatannya ke beberapa kawasan di Kuala Lumpur selepas dilantik sebagai Perdana Menteri, terutama Terminal Bas Puduraya yang kini telah berubah wajah dengan prasarana lebih baik di mana ruang menunggu berhawa dingin setanding dengan sesetengah lapangan terbang.

"Cabaran bagi kita ialah untuk terus membangunkan Kuala Lumpur supaya Kuala Lumpur merupakan sebuah metropolitan yang menjanjikan kemudahan terbaik setanding dengan kota raya dan metropolitan yang lain," katanya.

Turut hadir pada majlis itu, isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Koh Tsu Koon serta perwakilan asing.

Sambutan Hari Wilayah yang bertemakan "1Wilayah Persekutuan Maju dan Sejahtera" di Dataran Merdeka dimulai dengan persembahan pra pelancaran "Senandung Budaya Wilayah Persekutuan" diikuti Konsert Ambang 1Wilayah Persekutuan 2010 oleh beberapa artis tempatan antaranya Aishah, Datuk M.Daud Kilau, Bob dan Mila.

Ketibaan Najib dan Rosmah pada pukul 10.30 malam di Menara DBKL 2 disambut oleh Raja Nong Chik sebelum menaiki bas pelancongan "Hop On Hop off" dengan diiringi perarakan pasukan berkuda DBKL menuju ke Dataran Merdeka untuk pelancaran majlis itu.

Persembahan tarian Selamat Datang 1Malaysia menyambut ketibaan di Dataran Merdeka sebelum majlis pelancaran disempurnakan dengan penuh gilang gemilang.

Majlis kemudiannya menyaksikan upacara perarakan bendera Wilayah Persekutuan diikuti upacara menaikkan bendera berkenaan diiringi nyanyian lagu "Maju dan Sejahtera" sebelum pertunjukan bunga api mengakhiri sambutan Hari Wilayah 2010. -BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan