Muzakarah, Muafakat Selesai Masalah

Diterbitkan: Isnin, 1 Februari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pemangku Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah hari ini menitahkan semua pihak supaya kembali kepada prinsip bermuzakarah dan bermuafakat dalam menyelesaikan sebarang masalah yang timbul.

Baginda bertitah melalui muzakarah dan muafakat segala permasalahan yang dihadapi akan dapat dirungkai.

"Antara kekuatan kita adalah semangat bermuzakarah dan bermuafakat dalam menyelesaikan apa-apa masalah," titah baginda ketika Istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan di Istana Negara, di sini.

Tuanku Abdul Halim bertitah adalah menjadi tugas semua pihak, baik daripada kalangan anggota pentadbiran, kerajaan, pembangkang, penjawat awam, rakyat biasa mahupun anggota-anggota badan bukan kerajaan untuk memastikan keharmonian, perpaduan dan sikap toleransi antara pelbagai kaum dan penganut agama terus dipelihara demi kesejahteraan negara.

Sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan dan genap 36 tahun penubuhan entiti Wilayah Persekutuan yang pertama iaitu Kuala Lumpur hari ini, baginda juga berharap supaya Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar akan menjalankan tugas dengan penuh amanah dan kesungguhan supaya kebajikan rakyat terpelihara.

"Dalam hal ini setiap tindakan dan keputusan yang diambil oleh para penjawat awam hendaklah berpaksikan kepada kepentingan rakyat keseluruhannya, selaras dengan gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan," titah Tuanku Abdul Halim.

Baginda juga bertitah agar warga Wilayah Persekutuan bersatu padu dan memberikan sokongan penuh kepada segala usaha kerajaan bagi merangsang pertumbuhan ekonomi negara dalam menempuh kegawatan ekonomi global ketika ini.

Baginda juga menzahirkan kegembiraan dengan kejayaan program penjualan unit-unit rumah di bawah Program Perumahan Rakyat Majlis Tindakan Ekonomi Negara dan Perumahan Awam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Titah baginda usaha-usaha untuk membolehkan rakyat terutamanya golongan yang berpendapatan rendah memiliki rumah sendiri hendaklah diteruskan dan turut dilakukan di bandar-bandar utama di seluruh Malaysia.

"Beta berharap usaha-usaha yang berterusan hendaklah dilaksanakan bagi membendung kewujudan kawasan-kawasan setinggan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan," titah Tuanku Abdul Halim.

Baginda juga menzahirkan kepercayaan bahawa pihak kementerian akan memberikan perhatian serius untuk meningkatkan tahap bagi aspek-aspek yang dapat menjamin dan menjadi pengukur kepada kesejahteraan bandar seperti keselamatan, kualiti hidup, kebersihan, kesempurnaan perkhidmatan dan kemudahan.

"Pastikan tumpuan bukan diberikan kepada penambahbaikan kehidupan di Kuala Lumpur dan Putrajaya sahaja, tetapi hendaklah merangkumi Wilayah Persekutuan Labuan dan bandar-bandar utama lain di seluruh Malaysia," titah baginda.

Dalam keghairahan mengejar kemajuan fizikal dan ekonomi, baginda mengingatkan supaya prinsip kelestarian alam sekitar tidak diketepikan.

"Beta berharap setiap agenda pembangunan akan mengambil kira impak dan kesannya terhadap alam sekitar. Usaha untuk memelihara dan memulihara alam sekitar perlulah sentiasa diutamakan kerana ia merupakan tanggung jawab dan amanah daripada Allah SWT," titah baginda.

Baginda juga berharap supaya penganugerahan darjah kebesaran, bintang dan pingat Wilayah Persekutuan akan terus menjadi pendorong dan pembakar semangat kepada semua untuk berganding bahu serta bersatu hati ke arah mencapai matlamat 1Wilayah Persekutuan, Maju dan Sejahtera.

Terdahulu, Tuanku Abdul Halim menyampaikan darjah kebesaran, bintang dan pingat Wilayah Persekutuan 2010 kepada 240 penerima anugerah dengan dua penerima dianugerahkan Darjah Seri Utama Mahkota Wilayah (SUMW), tujuh menerima Darjah Seri Mahkota Wilayah (SMW), 27 dianugerahkan Panglima Mahkota Wilayah (PMW), 32 (Johan Mahkota Wilayah-JMW), 39 (pingat Kesatria Mahkota Wilayah), 43 (pingat Ahli Mahkota Wilayah dan 90 lagi menerima Pingat Pangkuan Mahkota Wilayah.

Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad yang juga Ahli Parlimen Johor Baru dianugerahi SUMW yang membawa gelaran Datuk Seri Utama.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Fuad Ismail, Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Gopal Sri Ram dan Datuk James Foong Cheng Yuen pula antara penerima SMW yang membawa gelaran Datuk Seri.

Tiga warga media iaitu Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Ibrahim Yahaya, Ketua Pengarang Malay Mail, Ahirudin Attan yang lebih dikenali sebagai blogger Rocky Bru serta Pengarang Kumpulan Harian Metro, Mustapa Omar merupakan antara penerima darjah PMW yang membawa gelaran "Datuk", manakala Timbalan Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia, Zulkefli Salleh antara yang dianugerahkan JMW.

Turut hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman serta Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan