Ketiadaan Gula Punca Kelewatan Agihan Bekalan: Ismail Sabri

Diterbitkan: Isnin, 1 Februari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JOHOR BARU: Ketiadaan bekalan gula di hipermarket berlaku berikutan kelewatan pusat pengagihan barangan mengagihkan komoditi itu ke hipermarket-hipermarket yang terlibat, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Berlaku kelewatan dari segi pengagihan gula, sebab itu kurangnya bekalan gula di hipermarket.

"Ada juga kedai yang tidak ada gula kerana pemborong tidak mahu menghantar bekalan gula ke kedai itu kerana pemiliknya masih belum melangsaikan hutang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Kurangkan Pengambilan Gula Peringkat Negeri Johor di sini hari ini.

Disebabkan masalah itu katanya, kelihatan seolah-olah berlakunya krisis gula di sesetengah tempat.

Terdahulu dalam ucapannya, Ismail Sabri menjelaskan perkara berkaitan pengambilan gula yang lazimnya menyentuh Kementerian Kesihatan, turut menjadi perkara pokok kementeriannya kerana membabitkan isu-isu kepenggunaan.

Menurutnya, sudah menjadi tanggungjawab kementeriannya melindungi rakyat daripada kemudaratan berikutan pengambilan gula yang berlebihan boleh menyebabkan mereka berdepan risiko penyakit diabetes.

Katanya, terdapat 1.2 juta pesakit diabetes di negara ini dan di Johor sahaja tahun lepas merekodkan seramai 84,789 pesakit.

Beliau mengingatkan orang ramai agar mengamalkan gaya hidup sihat dengan menjaga pemakanan dan melakukan aktiviti-aktiviti riadah.

Selepas pelancaran itu, kempen tersebut akan diperluaskan ke peringkat luar bandar secara berperingkat di negeri ini. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan