Najib Ajak Rakyat Bersatu Tentang Cubaan Gugat Keharmonian

Diterbitkan: Ahad, 31 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya bersatu menentang cubaan liar menggugat keharmonian negara, termasuk beberapa serangan terhadap rumah ibadat baru-baru ini.

Perdana Menteri berkata beliau terharu dan mendapat inspirasi daripada bantahan yang disuarakan oleh pelbagai pihak di seluruh negara yang mengutuk perbuatan demikian.

Katanya bantahan dan kemarahan pelbagai pihak yang bergema dari seluruh negara terhadap segelintir individu yang bertindak jahat itu mencerminkan semangat sebenar 1Malaysia atau perpaduan dalam kepelbagaian.

"Saya tahu ada pihak yang mengkritik 1Malaysia. Saya tahu sesetengah rakyat Malaysia begitu cepat menolak atau memperkecil-kecilkannya. Saya tahu ada pihak yang mempersoalkan isinya. Kepada mereka yang mempunyai keraguan mengenainya, saya ingin katakan: 1Malaysia bertujuan mulia.

"Ia merupakan seruan ke arah tindakan yang berasaskan nilai-nilai asas yang telah wujud sejak sekian lama dan sentiasa menjadi amalan kita seperti integriti dan kesetiaan...yang menjadi identiti rakyat Malaysia," tulis Najib dalam blog beliau www.1malaysia.com.my blog.

Perdana Menteri berkata kejadian baru-baru ini bukan saja merupakan penghinaan terhadap kepercayaan agama, tetapi juga satu perbuatan yang jelas bertentangan dengan semangat dan matlamat 1Malaysia.

"Ia suatu cubaan bagi menggagalkan usaha kita untuk mencapai penerimaan dan kemajuan, kesaksamaan dan lebih buruk lagi, merupakan cubaan untuk menyemai bibit-bibit yang menentang sikap toleransi. Bagaimanapun, unsur paling membimbangkan ialah emosi yang mendorong individu terbabit bertindak demikian. Mentaliti inilah yang perlu dikenalpasti dan diperbetulkan.

"Kita tidak boleh sekali-kali menerima sikap tidak bertoleransi dan perbuatan menghancurkan masyarakat kita. Saya juga menyarankan kepada ibu bapa, guru dan pemimpin supaya mendidik anak-anak kita supaya bangun menentang cubaan liar bagi menggugat keharmonian antara kita...hanya melalui cara inilah Malaysia akan menjadi lebih kuat dan sejahtera," kata beliau. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan