Kerajaan Negeri Perlu Sedia Tempat Baru Sebelum Roboh: DPMM

Diterbitkan: Ahad, 31 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

IPOH: Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) meminta Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyediakan kawasan baru kepada peniaga Melayu yang didakwa menjalankan perniagaan tanpa lesen sebelum bertindak merobohkan premis mereka.

Timbalan Presiden DPMM, Datuk Ahmad Mahiyuddin Abdullah berkata, kerajaan negeri sepatutnya mencari alternatif seperti mengeluarkan lesen perniagaan kepada mereka sebelum mengambil tindakan demikian.

"Tindakan (merobohkan) memberi kesan negatif kepada sosial dan ekonomi kepada yang terlibat...perbuatan yang tidak adil dan tidak berperikemanusiaan," katanya kepada pemberita di sini hari ini sebagai mengulas tindakan kerajaan negeri itu yang sedang giat merobohkan gerai-gerai kecil yang berniaga tanpa lesen.

Ahmad Mahiyuddin berkata, kerajaan negeri perlu mengambil kira kesan tindakan berkenaan terhadap para peniaga terbabit kerana mereka mempunyai keluarga dan anak-anak yang bersekolah.

Beliau berkata, pemberian lesen perlu dimudahkan dan jika kawasan alternatif sukar disediakan dengan segera, kerajaan negeri boleh mengeluarkan lesen perniagaan kepada mereka untuk menggunakan van bagi menjalankan perniagaan.

Katanya, isu lesen seharusnya tidak menjadi masalah kerana kuasa berkenaan berada di tangan kerajaan-kerajaan negeri.

"Lihat contoh apa yang diambil kerajaan negeri di Perak semasa hendak memindahkan peniaga di sekitar Stesen Keretapi Ipoh...semuanya diberi pilihan untuk berpindah ke kawasan yang telah ditetapkan," katanya.

Di Pulau Pinang, Ketua Pemuda Umno negeri, Norman Zahalan berkata, pihak kerajaan negeri sepatutnya mengamalkan sikap bertimbang rasa dan bertolak ansur terhadap peniaga kecil.

"Banyak gerai-gerai kecil yang menjalankan perniagaan makanan di negeri ini dirobohkan dan kita lihat kerajaan negeri juga seperti mengamalkan sikap pilih kasih kerana kebanyakan gerai yang menjadi sasaran adalah milik penjaja Melayu," dakwanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri pimpinan pakatan pembangkang sepatutnya berusaha meningkatkan taraf kehidupan rakyat, tetapi mereka bertindak sebaliknya dengan giat merobohkan gerai yang beroperasi.

"Dulu masalah bazar Ramadan di Jalan Chowrasta dan terbaru di Tanjung Bungah serta Medan Ikan Bakar Hammer Bay yang terletak berhampiran Queensbay di sini dirobohkan, sepatutnya mereka membantu tetapi telah bertindak sebaliknya," katanya.

Norman mendakwa kebanyakan peniaga yang kedai mereka dirobohkan menjalankan perniagaan dengan mendapatkan modal dari bank atau Majlis Amanah Rakyat (MARA).

"Bayangkan bagaimana peniaga akan melunaskan pinjaman yang dibuat sekiranya gerai mereka telah dirobohkan dan mereka memerlukan pembelaan sewajarnya, bukannya terus ditekan," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan