Sejuta Penganut Hindu Dan Pelancong Berhimpun Di Batu Caves

Diterbitkan: Sabtu, 30 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kira-kira sejuta penganut Hindu termasuk pelancong asing membanjiri Kuil Sri Subramaniyar Swami di Batu Caves di sini, hari ini sempena Thaipusam bagi menghormati hari lahir Dewa Murugan.

Walaupun cuaca panas terik sejak pagi, suasana di sekitar kawasan itu meriah dengan tumpuan diberikan kepada kira-kira 10,000 penganut yang menunaikan nazar dengan membawa kavadi, palkudam (belanga susu), memecahkan kelapa dan mencukur rambut sebagai penebus dosa.

Anggota jawatankuasa kuil itu V. Krishnamoorthi berkata sambutan kali ini lebih meriah kerana lebih 10,000 penganut membayar nazar mereka dan pelancong juga dapat melihat perubahan-perubahan yang dilakukan di sekitar kawasan kuil itu.

“Memang banyak perubahan yang dilakukan pada sambutan Thaipusam kali ini, antaranya bangunan dan dewan di sekitar kawasan kuil dicat semula, laluan pejalan kaki yang baru dan sebuah dewan kecil yang dibina khas bagi penganut yang membayar nazar dengan mencukur rambut,” katanya.

Selain itu, keadaan lalu lintas juga dilihat dapat dikawal dengan sempurna dan tidak berlaku kesesakan teruk seperti tahun sebelum ini.

Sementara itu ketika ditemui, beberapa pelancong asing berkata persekitaran di Batu Caves amat menakjubkan dan berbeza daripada budaya mereka.

Alan, 23, berasal dari Belgium menyatakan bahawa beliau sangat kagum dengan perayaan kebangsaan ini.

“Ini satu perayaan yang sangat menarik dan saya sangat tertarik hati ... dengan Thaipusam,” kata James Tucker, yang berasal daripada Australia.

Thaipusam adalah perayaan yang disambut oleh penganut agama Hindu semasa bulan penuh Tamil yang dipanggil Thai (berlaku dalam bulan Januari atau Februari).

Turut dikenali sebagai Thaipooyam atau Thaippooyam dalam bahasa Malayalam, perayaan ini bagi memperingati hari lahir Dewa Murugan iaitu anak bongsu lelaki Dewa Shiva dan Dewi Parvati.

Ia juga bagi memperingati peristiwa di mana Dewa Murugan menerima lembing suci daripada ibunya bagi menghapuskan kuasa jahat bernama Soorapadman.

Kejayaan Murugan dalam mengembalikan kemakmuran dan kesejahteraan orang ramai telah menjadi satu peristiwa untuk penganut agama Hindu merayakan Thaipusam.

Di IPOH, kira-kira 10,000 penganut Hindu membanjiri Kuil Arul Subramaniar yang terletak di bukit batu kapur Gunung Cheroh di sini, sejak petang semalam bagi menyambut perayaan Thaipusam.

Kira-kira 50 pelancong asing turut mengambil peluang menyaksikan perayaan masyarakat Hindu.

Pelbagai aktiviti keagamaan penganut Hindu diadakan dengan meriah dan warna-warni termasuk perarakan patung Dewa Murugan dari Kuil Sri Maha Mariamman di Sungai Pari ke kuil tersebut.

Jalan-jalan utama di bandar raya ini juga mengalami kesesakan berikutan beberapa jalan menghala ke Kuil Subramaniar telah ditutup bermula petang semalam hingga tengah malam ini.

Sambil menjunjung belanga susu serta kavadi, penganut Hindu berduyun-duyun berjalan sejauh 10 kilometer melalui Jalan Sungai Pari, Jalan Tun Perak, Jalan Lahat, Jalan Sultan Yusuff, Jalan Sultan Idris Shah dan Jalan Raja Muda Musa dari Kuil Sri Maha Marimman di Jalan Sungai Pari sejak semalam.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dijadualkan melawat dan beramah mesra dengan penganut Hindu di kuil berkenaan pada pukul 6.30 petang ini.

Malam ini, para penganut Hindu itu akan memasang lampu pada kavadi mereka manakala esok mereka akan melakukan upacara memecah kelapa untuk membayar nazar.

Pusat beli-belah dan kawasan rekreasi sementara itu turut dipenuhi orang ramai yang mengambil kesempatan meraikan cuti umum di negeri ini.

Di PULAU PINANG lebih 90,000 penganut Hindu dan pelancong asing bertumpu di kuil-kuil Hindu di Jalan Kebun Bunga sini hari ini untuk menunaikan nazar pada perayaan tahunan Thaipusam.

Naib Pengerusi ‘Hindu Endowments Board’ Pulau Pinang RSN Rayer berkata lebih 200 penganut Hindu membawa kavadi, belanga susu serta mengambil bahagian dalam upacara agama memecahkan kelapa untuk membayar nazar atas permintaan yang telah ditunaikan atau untuk menebus dosa-dosa silam.

“Tahun ini sambutan perayaan Thaipusam disambut pada hujung minggu menyebabkan sambutan lebih meriah kerana membolehkan lebih ramai orang melawat kuil,” katanya.

Beliau berkata terdapat 137 ‘Thannir Panthal’ (gerai yang menyediakan makanan dan minuman percuma) dibina di sepanjang jalan menuju ke Jalan Kebun Bunga.

Seorang pelancong dari Ireland, hanya dikenali sebagai Keith, 31, berkata ini adalah pengalaman pertama beliau menyaksikan festival Thaipusam di Pulau Pinang walaupun telah beberapa kali menjejakkan kaki ke negeri itu.

“Saya sangat kagum melihat bagaimana perayaan Thaipusam disambut di sini dengan kavadi besar yang dihiasi dengan bunga dan bulu merak,” katanya kepada Bernama apabila ditemui di Sri Arulmigu Balathandayuthabani di sini hari ini. BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 25 Julai 2017 3:00 PM

Aaron Abdul Iras Sudirman?

Selasa, 25 Julai 2017 12:00 PM

Eyka Farhana Diusik Minta Nombor Telefon

Selasa, 25 Julai 2017 9:00 AM

Tauke Jambu Tak Sabar Naik Pelamin

Isnin, 24 Julai 2017 12:03 PM

Lantaklah! Ahya Memang Suka Tayang Badan

Isnin, 24 Julai 2017 9:00 AM

#BiziBody: Risteena Dah Nak Kahwin?

Jumaat, 21 Julai 2017 3:00 PM

Nadzmi Adhwa Bolot Semua 'Job'

Jumaat, 21 Julai 2017 9:00 AM

#akuStar: iR Radzi - Cinta Terakhir

Kolumnis

iklan

Iklan