Perhimpunan Agung Umno 28-30 Oktober

Diterbitkan: Sabtu, 30 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Majlis Tertinggi (MT) Umno memutuskan Perhimpunan Agung Umno 2010 akan diadakan pada 28 hingga 30 Oktober depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkata, mesyuarat peringkat cawangan akan mula berlangsung pada 1 Mei hingga 15 Jun ini.

"MT juga bersetuju agar mesyuarat peringkat bahagian yang melibatkan sayap Wanita, Pemuda dan Puteri akan diadakan antara 16 Jun hingga 16 Julai," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat MT Umno di sini semalam.

Selain itu, Presiden Umno itu berkata, usaha mengemaskini senarai keahlian di peringkat bahagian dijadual akan selesai pada 10 Mac ini.

"Senarai keahlian akan dipamer selama 21 hari antara 15 Mac hingga 5 April.

"Manakala bermula 6 hingga 15 April adalah tarikh penghantaran senarai kemaskini ke ibu pejabat Umno," katanya.

Selain itu Najib berkata, tindakan mengemaskini senarai keahlian berkenaan adalah bagi memastikan jumlah ahli yang direkodkan menepati bilangan sebenar.

"Ini juga penting kepada pimpinan Umno di semua peringkat untuk mengambil berat tentang kemasukan ahli-ahli baru serta mempermudahkan mereka terus menambahkan bilangan ahli baru," katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, MT juga bersetuju untuk meneruskan program Juara Rakyat di Kedah pada 5 hingga 7 Februari ini yang akan dilancarkan oleh Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"MT juga mengambil maklum tentang kejayaan program Juara Rakyat yang dilancarkan baru-baru ini di Selangor dan sebagai tindakan susulan, program ini akan diteruskan di bahagian utara," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan