MATRADE: Baki RM25 Juta Untuk Geran Pembangunan Pasaran Tahun Ini

Diterbitkan: Sabtu, 30 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Zakaria Kamaruddin. - Foto THE STAR oleh AZMAN GHANI
Zakaria Kamaruddin. - Foto THE STAR oleh AZMAN GHANI

KUALA LUMPUR: Usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) disarankan memanfaatkan baki RM25 juta untuk Geran Pembangunan Pasaran (MDG) oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) bagi mempromosikan produk dan perkhidmatan di luar negara, tahun ini.

Pengarah Kanan, Bahagian Pembangunan Pengeksport, MATRADE, Zakaria Kamaruddin berkata, kira-kira 3,000 syarikat IKS telah menerima geran sebanyak RM55 juta sehingga Disember tahun lalu.

Katanya, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM80 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK 9) untuk tujuan tersebut.

"Baki RM25 juta akan disalurkan untuk tahun ini. Kita galakkan mereka yang berminat mengembangkan pasaran ke peringkat antarabangsa menghubungi MATRADE atau mendapatkan maklumat lanjut menerusi laman web www.matrade.gov.my .

"Tidak ada apa-apa sekatan serta kuota dikenakan dan ianya terbuka kepada semua sektor kecuali tiga sektor iaitu sektor pelancongan, kewangan dan perbankan serta hartanah tidak layak menerima bantuan geran itu. Kita akan cuba membantu mereka mendapatkan kemudahan ini," katanya kepada mStar Online di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas dakwaan pengusaha IKS bahawa masih terdapat banyak geran MATRADE yang belum dimanfaatkan.

Zakaria menegaskan MDG terbuka kepada semua IKS tertakluk kepada beberapa garis panduan iaitu hanya 13 aktiviti IKS yang layak memohon geran tersebut.

Katanya, aktiviti-aktiviti yang layak adalah penyertaan dalam misi perdagangan, misi jualan, pameran antarabangsa, penyelidikan dan perundingan.

Berpandukan kepada pecahan tuntutan geran MDG mengikut sektor sehingga hari ini, beliau memberitahu,industri kayu dan perabot adalah yang tertinggi, iaitu 38 peratus, diikuti oleh makanan dan minuman (8 peratus), peralatan mesin (6.9 peratus), produk elektrikal dan elektronik pengguna (4 peratus) serta sektor bahan binaan (3.8 peratus).

Dalam perkembangan berkaitan, Zakaria berkata, MATRADE turut menawarkan lain-lain geran seperti Geran Promosi Jenama (BPG) dan Dana Eksport Perkhidmatan (SEF).

Bagaimanapun, katanya, oleh kerana sambutan yang amat menggalakkan, dana geran BPG (berjumlah RM200 juta) dan SEF (RM115 juta) telah digunakan sepenuhnya dan kini menunggu suntikan dana tambahan daripada Kerajaan.

"Setakat ini, BPG telah membiayai usaha mempromosi 89 jenama produk dan perkhidmatan keluaran Malaysia syarikat manakala sebanyak 674 syarikat pembekal perkhidmatan telah mendapat manfaat daripada SEF," jelasnya.

Sementara itu, Zakaria memberitahu, MATRADE sedang memperhebatkan promosi eksport perkhidmatan profesional seperti kepakaran perkhidmatan perundingan kejuruteraan, arkitek, perundangan, pengurusan perbankan Islam, pembinaan infrastruktur, penjagaan kesihatan, pendidikan tinggi dan latihan profesional.

Untuk tujuan itu, katanya, MATRADE akan menganjurkan “Malaysia Services Exhibition” di Dubai pada 13-15 April ini untuk mempromosikan sektor perkhidmatan.

Selain daripada itu, katanya, MATRADE turut mempromosikan restoran Malaysia melalui kempen 'Malaysia Kitchen' di London dan New York dengan harapan dapat meningkatkan lagi jumlah pengunjung dan penggemar masakan Malaysia.

Tambahnya, ini akan dapat meningkatkan lagi eksport makan diproses, rempah-ratus serta kedatangan pelancong ke Malaysia.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan