Wanita Bakal Bertunang Maut Dalam Nahas

Diterbitkan: Jumaat, 29 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUANTAN: Seorang operator kilang sabun yang bakal bertunang 20 hari lagi, maut manakala tiga yang lain parah apabila kereta yang mereka naiki terlibat dalam kemalangan dengan sebuah treler di Km23.5 Jalan Kuantan-Kemaman di Bukit Pengorak dekat sini, hari ini.

Nurul Fatanah Razali, 26, yang duduk di bahagian belakang kereta itu cedera parah di kepala dan mati di tempat kejadian, manakala adiknya Nurul Ain, 21, yang duduk di sebelahnya cedera parah.

Turut parah dalam kejadian pada pukul 6.40 pagi itu ialah pemandu kereta terbabit, Suzila Saman, 30, dan penumpang hadapan yang identitinya belum dikenali.

Kesemua mereka yang cedera parah itu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan, kata Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan Supt Zulkifli Taha kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata kejadian berlaku ketika kereta yang dipandu Ketua Wanita Umno Cawangan Kampung Darat Jering, Sungai Ular itu dalam perjalanan ke tempat kerja mereka di Kawasan Perindustrian Gebeng, dekat sini.

"Pemandu kereta Proton Iswara itu cuba memotong kenderaaan di hadapannya tetapi gagal apabila bahagian belakang keretanya bergesel dengan lori treler membawa muatan cerucuk konkrit yang datang dari arah bertentangan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, bakal tunang Nurul Fatanah, Mohd Farid Mohd Hamid, 25, berkata semua persiapan majlis pertunangan mereka telah siap dan hanya menunggu tarikh langsungnya iaitu 18 Feb.

"Pada kebiasaannya dia akan menghantar SMS jika hendak ke tempat kerja tetapi pagi tadi dia tidak hantar sebarang SMS kepada saya," katanya yang kali terakhir menemui mangsa di pasar malam.

Bapa Nurul Fatanah, Razali Mamat, 55, berkata beliau mengetahui tragedi yang melibatkan anak keempat dan kelimanya itu pada pukul 7.30 pagi tadi apabila diberitahu oleh jirannya.

"Mereka berdua sangat rapat, ke mana sahaja pergi sentiasa bersama dan malam tadi saya meminta mereka ke pasar malam untuk membeli nasi lemak dan kami bertiga makan dengan amat berselera. Saya tidak sangka itu kali terakhir saya makan bersama Nurul Fatanah," katanya.

Jenazah Nurul Fatanah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Ular selepas solat Jumaat. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan