Peruntukan Tambahan RM700,000 Untuk Sekolah Berprestasi Tinggi

Diterbitkan: Jumaat, 29 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kerajaan mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM700,000 kepada setiap Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) bagi meningkatkan keupayaan sekolah melaksanakan program lonjakan prestasi.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, peruntukan tambahan itu boleh digunakan untuk tujuan penambahbaikan pengajaran dan pembelajaran (P&P) selain pengukuhan bidang kebitaraan sekolah serta pembiayaan aktiviti kurikulum dan kokurikulum murid.

Beliau berkata peruntukan itu akan diberikan secara sekaligus kepada 20 buah sekolah terbabit dalam masa terdekat dan perbelanjaan adalah tertakluk kepada peraturan kewangan sedia ada bagi menjamin akauntabiliti.

"Sekolah-sekolah memang ada peruntukan setiap tahun, oleh kerana mereka berjaya sampai ke peringkat SBT, kita bagi tambahan RM700,000 lagi yang boleh digunakan untuk meningkatkan keupayaan guru, latihan dan lain-lain itu terserah kepada sekolah terbabit.

"Apa pun ada peraturan kewangan yang ditetapkan dan tidak boleh belanja sesuka hati. Peruntukan itu perlu dibelanjakan untuk apa yang mereka perlu bagi meningkatkan prestasi sekolah," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pengiktirafan SBT Kementerian Pelajaran di Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin Baki di sini hari ini.

Sebanyak 20 pengetua dan guru besar SBT menerima watikah pengiktirafan masing-masing.

Isnin lalu, beliau yang juga Menteri Pelajaran mengumumkan 20 SBT iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perempuan (P) Sri Aman, Petaling Jaya, Selangor; SMK Sultanah Asma, Alor Star, Kedah; SMK Aminuddin Baki, Kuala Lumpur; SMK (P) St George, Pulau Pinang; Sekolah Tun Fatimah, Johor Bahru, Johor; Sekolah Dato' Abdul Razak, Seremban, Negeri Sembilan; Kolej Melayu Kuala Kangsar; Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya; Sekolah Menengah (SM) Sultan Abdul Halim Jitra, Kedah; Kolej Tunku Kurshiah, Seremban Negeri Sembilan; Kolej Islam Sultan Alam Shah, Klang, Sekolah Menengah Sains (SMS) Tunku Syed Putra, Perlis; Sekolah Alam Shah, Putrajaya dan SMS Muzaffar Syah, Melaka.

Sekolah rendah pula ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Bintang Utara, Kuala Lumpur; SK Zainab (2) Kota Bharu, Kelantan; SK Taman Tun Dr Ismail 1, Kuala Lumpur; SK Convent Kota, Taiping, Perak; SK Bukit Damansara, Kuala Lumpur dan SK Bandar Baru Uda 2, Johor Bahru, Johor.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, satu pertemuan akan diadakan dengan pengetua dan guru besar sekolah-sekolah terbabit bagi menjelaskan pelaksanaan SBT serta bidang-bidang yang sesuai supaya sekolah terbabit terus mengekalkan status mereka.

Beliau mahu sekolah yang tidak terpilih dalam kelompok sekolah cemerlang itu supaya tidak kecewa kerana kaedah pemilihan SBT adalah berterusan dan kesemua sekolah mempunyai peluang untuk disenaraikan sebagai SBT kerana bilangannya tidak dihadkan.

"Ini adalah kali pertama SBT akan menjadi model untuk semua sekolah sampai ke tahap itu. Mungkin selepas ini, kita akan hubungkan pengetua dan guru besar SBT dengan pengetua sekolah yang belum sampai tahap itu atau mereka akan datang tengok sendiri P&P sekolah ini sehingga mereka boleh mencapai tahap SBT," jelas beliau.

Sementara itu, Muhyiddin memberitahu, kementerian akan mengeluarkan senarai kedudukan sekolah yang tidak tersenarai sebagai SBT tidak lama lagi.

Katanya, kesemua sekolah perlu meningkatkan prestasi mereka dari semasa ke semasa.

"Kita akan umumkan kedudukan semua sekolah yang mana sekolah itu ada kelebihan dan kekurangan. Sekolah rendah kita akan umumkan hujung Februari ini dan sekolah menengah kemudiannya untuk mereka ketahui di mana kedudukan sekolah mereka," tambahnya.

Dalam perkembangan sama, Muhyiddin ketika mengulas mengenai autonomi yang diberi kepada 20 SBT terbabit berkata, kesemua sekolah berkenaan tertakluk di bawah polisi pendidikan yang ditetapkan Kementerian Pelajaran.

Malah kata beliau, setiap sekolah di bawah kementerian tidak boleh melakukan perkara yang bercanggah dengan dasar pendidikan, termasuk pelaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang akan dimansuh pada tahun 2012.

"Dasar yang kita umumkan kekal tidak bermakna kita akan mengubah dasar PPSMI balik semula. Dasar tetap dasar, apa pun pembaharuan, transformasi, perubahan atau penambahbaikan mesti bersandarkan kepada dasar yang telah pun diumum," katanya.

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Kolumnis

iklan

Iklan