Sistem Satu Tiket Pengangkutan Awam Akan Diperkenal

Diterbitkan: Khamis, 28 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Sistem satu tiket bagi pengangkutan awam di Lembah Klang akan diperkenalkan menjelang akhir tahun ini bagi menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat berkata, projek "1Ticket, 1Seamless Journey" akan dilancarkan bagi semua 16 pengusaha pengangkutan awam.

Kini Rapidpass digunakan pengguna yang menggunakan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT), monorel dan perkhidmatan bas yang dikendalikan RapidKL .

"Kami bercadang melaksanakannya tahun ini iaitu menjelang akhir tahun ini. Mungkin kami perlu berusaha lebih keras untuk mengatasi beberapa cabaran yang tidak dijangka, terdapat beberapa perkara," katanya kepada pemberita selepas pelancaran Program Pelan Hala Tuju Transformasi Kerajaan (GTP) oleh Perdana Menteri di sini hari ini.

Ong berkata, langkah itu bagi memastikan pengguna ditawarkan kemudahan untuk menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam dengan penggunaan tiket atau pas khas tanpa wang tunai.

"Terdapat pengusaha bas berbeza, kami perlu mengenal pasti semua masalah ini dan mengatasinya satu demi satu," katanya.

Selain itu, Ong berkata, kementerian itu sedang menjalankan kajian untuk mewujudkan terminal pengangkutan awam bersepadu bagi semua perkhidmatan pengangkutan awam sedia ada seperti bas, teksi dan LRT di Lembah Klang.

Bagi pengangkutan bas, beliau berkata, Bus Expressway Transit (BET) dan Bus Rapid Transit (BRT) dan sistem laluan khas bas masih tidak mempunyai kemudahan yang mesra orang kurang upaya.

"Kumpulan bas baru terutamanya yang sudah beroperasi di Pulau Pinang dilengkapi ciri-ciri mesra orang kurang upaya (OKU) untuk kemudahan mereka untuk naik dan turun bas."

Ong berkata, jumlah pengguna pengangkutan awam semakin meningkat dan kementeriannya sedang memantau perkembangan itu dan mendapat maklum balas positif daripada orang awam.

Mengenai set tren empat gerabak bagi laluan LRT Kelana Jaya di sini, beliau berkata, enam unit sudah beroperasi daripada 35 unit yang dirancang dengan bakinya akan diserahkan dan sedia untuk digunakan secara berperingkat menjelang 2012.

Mempertingkatkan Pengangkutan Awam Bandar merupakan satu daripada enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) di bawah GTP. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan