Selesai Isu Agama, Perkauman Secara Tertutup: Musa Hitam

Diterbitkan: Khamis, 28 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Isu agama dan perkauman yang timbul sejak akhir-akhir ini sewajarnya ditangani menerusi perbincangan oleh golongan pakar secara tertutup tanpa terlalu banyak publisiti, kata bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam.

Beliau berkata, berdasarkan pengalamannya sebagai bekas Menteri Dalam Negeri hanya perbincangan secara tertutup antara wakil agama yang dapat membantu menyelesaikan konflik antara agama.

"Selepas tragedi 13 Mei 1969 selama dua tahun kita mengadakan perbincangan dengan NGO yang mewakili pelbagai kaum dan bidang secara tertutup tanpa publisiti.

"Mereka semua datang setelah diminta hadir untuk berbincang, kami bertengkar, bertelagah pun ada tetapi tiada publisiti," katanya kepada pemberita selepas majlis Penyampaian Sumbangan untuk Tabung Bencana Indonesia di sini hari.

Musa berkata, publisiti hanya diberi setelah para panel dalam perbincangan dapat mencapai persefahaman dan keputusan.

Beliau berkata, sepanjang menjadi menteri (1981-1986), isu sedemikian sudah timbul berkali-kali dan ia telah dapat diselesaikan secara kompromi yang tertentu.

"Tiada sesiapa yang membuat kenyataan selepas setiap perjumpaan tetapi kami meneruskan pertemuan seminggu sekali," katanya.

Musa berkata, begitu juga semasa beliau menjadi Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) antara 1999-2002, sekurang-kurangnya dua hingga tiga kali wakil-wakil dan organisasi agama datang ke Suhakam untuk bertukar-tukar fikiran.

"Waktu itu soal penggunaan kalimah Allah belum timbul lagi, mereka hanya datang untuk merapatkan hubungan dan meningkatkan persefahaman. Paling penting, tiada berprofil tinggi dan tiada publisiti ... saya jemput mereka dan mereka datang.

"Pada mesyuarat pertama biasalah keadaan agak tegang, tapi kali kedua kali ketiga, kita jemput pakar sekali dan dengan adanya sesi soal jawab, ketegangan makin berkurang," katanya.

Sementara itu, Duta Besar Republik Indonesia ke Malaysia, Tan Seri Da'i Bachtiar berkata, wang derma dari rakyat Malaysia akan diguna khusus untuk membina sekolah di Padang.

Katanya, setakat ini jumlah derma dari rakyat Malaysia yang tersimpan di pusat pengumpulan di Jakarta adalah kira-kira RM400,000.

Pada majlis itu sebanyak RM295,000 wang derma daripada badan-badan sektor swasta diserahkan kepada Tabung Bencana Indonesia. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan