Penjawat Awam Gembira Beri Hasil Terbaik: Idris Jala

Diterbitkan: Khamis, 28 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala hari ini menggesa orang ramai mengubah pandangan negatif terhadap penjawat awam bagi menjadikan penyampaian Program Transformasi Kerajaan (GTP) lebih berkesan.

Idris yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) berkata, pada hari terbuka GTP yang diadakan bulan lepas, secara umumnya, komen orang ramai tentang penjawat awam amat negatif.

"Saya ingin meminta agar cakaplah benda baik-baik tentang penjawat awam apabila anda bertemu mereka. Apabila mereka rasa gembira tentang diri mereka, lama kelamaan, mereka akan beri hasil yang baik," katanya semasa memberi penerangan tentang GTP kepada orang ramai di sini.

Seramai 200 orang menghadiri majlis berkenaan bagi mengetahui dengan lebih mendalam tentang pelan hala tuju GTP yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Idris berkata, penjawat awam telah menunjukkan komitmen tinggi pada sesi makmal untuk mengumpul semua data yang diperlukan dalam mengenal pasti Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi GTP.

Lapan makmal berkenaan, yang bermula awal Oktober dan selesai pada pertengahan November tahun lepas melibatkan 200 penjawat awam, menghasilkan 43 Petunjuk Prestasi Utama Negara (NKPI), 104 program, 2,029 projek dan 7,307 aktiviti.

"Dalam masa enam minggu itu, mereka melaksanakan tugas dengan cukup menakjubkan," kata Idris. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan