Kelengkapan Pertahanan Tempatan Lepasi Piawaian Tinggi

Diterbitkan: Khamis, 28 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kelengkapan pertahanan yang dikeluarkan oleh syarikat tempatan melepasi piawaian tinggi daripada segi teknologi, kesempurnaan, kehalusan dan kemahiran pembuatan, kata Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin.

Malahan katanya, pembelian aset dan kelengkapan pertahanan keluaran syarikat tempatan dapat merangsang pertumbuhan ekonomi industri pertahanan negara dan meletakkan negara sebaris dengan negara maju lain.

"Saya menyokong sebarang pembelian dan perolehan aset keluaran tempatan. Ia bukan sahaja lebih fleksibel malahan dapat merangsang ekonomi dan menaikkan imej industri pertahanan tempatan dan juga negara.

"Jangan pandang rendah keupayaan industri pertahanan tempatan termasuklah perkapalan, udara dan darat. Jika kita sendiri sokong produk negara, secara tidak langsung negara lain turut akan membuka mata untuk membeli produk kita," katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan kepulangan kumpulan induk Malcon East 4 dari Lubnan di Pangkalan Tentera Udara di Subang dekat sini hari ini.

Beliau mengulas hasrat Kementerian Pertahanan untuk mempertimbangkan membeli kapal kelas sederhana dan kecil keluaran syarikat tempatan dengan menggunakan kaedah pakej pembelian yang tidak akan membebankan negara.

Beliau berkata, perolehan aset keluaran tempatan dalam inventori Angkatan Tentera Malaysia (ATM) merupakan platform terbaik untuk memperkenalkan nama negara di mata dunia.

Katanya, bagaimanapun sebarang perolehan bagi inventori ketiga-tiga cabang ATM akan dibuat berdasarkan keperluan semasa dan ianya bergantung kepada bajet dan kemampuan kerajaan.

Mengenai pesawat pengangkut Airbus A400M yang dijadualkan bakal diterima secara berperingkat iaitu dua buah pada 2013 dan dua lagi pada 2014, Azizan berkata perolehan pesawat tersebut terpaksa ditangguhkan ke satu masa yang belum dapat dipastikan lagi.

"Penambahbaikan dan menaik taraf sistem pertahanan udara merupakan program berterusan di dalam memastikan aset-aset Tentera Udara Diraja Malaysia setara dengan teknologi terkini bagaimanapun perolehan Airbus terpaksa ditangguhkan.

"Program tersebut ditangguhkan tetapi berapa lama itu kita tidak boleh pastikan lagi. Kita sedang mengenalpasti masalah itu sebaiknya dan program akan diteruskan setelah masalah diselesaikan," katanya.

Sementara itu, Komander Pasukan, Leftenan Kolonel Romainor Ahmad berkata, mutu perkhidmatan dan sikap profesional pasukan Malaysia di Lubnan telah memberikan keyakinan kepada seluruh warga Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan penduduk tempatan.

"Kehadiran tentera Malaysia serta pelbagai projek jiwa murni yang dilakukan membantu memberikan keyakinan kepada rakyat negara berkenaan untuk meneruskan kehidupan mereka malahan pasukan kita sering mendapat pujian.

"Semua ini tidak akan tercapai tanpa pengorbanan ikhlas dan semangat serta dedikasi tinggi yang ditunjukkan anggota ketika bertugas. Kombinasi anggota daripada ketiga-tiga perkhidmatan, jalinan kerjasama dan integrasi yang baik telah menghasilkan pencapaian tugas yang cemerlang," katanya.

Bagi pegawai pergigian, Kapten Dr Huda Pisol, 27, yang merupakan satu-satunya wanita yang bertugas selama sembilan bulan di Lubnan melahirkan rasa syukur kerana tidak menghadapi sebarang masalah sepanjang bertugas di wilayah bergolak itu.

Katanya, walaupun terpaksa berhadapan dengan pelbagai dugaan dan rintangan, beliau menganggap semua itu adalah pengalaman dan pelajaran baru baginya.

Pasukan Malcon East 4 dengan kekuatan 200 anggota termasuk 29 pegawai dan empat wanita memulakan tugas misi Unifil bermula 29 April tahun lepas dan berakhir pada 23 Jan lalu, bertugas di sana selama sembilan bulan manakala anggota wanita selama empat bulan setengah iaitu yang dibahagikan kepada dua kumpulan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan