Hari Wilayah: Beberapa Jalan Sekitar Kuala Lumpur Ditutup Hari Ini

Diterbitkan: Khamis, 28 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Beberapa jalan di sekitar Dataran Merdeka di sini ditutup mulai malam ini sempena raptai pelancaran sambutan dan festival Hari Wilayah Persekutuan 2010.

Jalan yang ditutup ialah Jalan Raja Laut bermula dari Menara DBKL 2 hingga persimpangan Jalan Raja, dan Jalan Hishamudin mulai pukul 8 malam ini sehingga 1 pagi esok, menurut kenyataan akhbar Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar.

Raptai penuh sambutan Hari Wilayah Persekutuan akan diadakan esok mulai 6 petang hingga 1 pagi melibatkan jalan yang sama.

Menurut kenyataan itu, Jalan Raja akan ditutup bagi pelancaran sambutan dan festival pada hari Ahad mulai 6 petang hingga 1 pagi.

Pada hari Isnin, Jalan Raja akan ditutup untuk Festival Hari Wilayah Persekutuan dari pukul 6 pagi hingga 7 malam.

Kementerian itu menasihatkan para pengguna jalan raya supaya berhati-hati dan menggunakan jalan alternatif bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas, dan orang ramai digalakkan menggunakan pengangkutan awam ke Dataran Merdeka.

Orang ramai digalakkan merujuk Sistem Maklumat Pengangkutan Bersepadu (ITIS) dan mematuhi segala arahan polis Trafik serta penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dari semasa ke semasa sebagai panduan pengunaan jalan raya di ibu kota.

Sebarang keterangan atau pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Call Centre DBKL di talian bebas tol 1-800-88-32-55. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan