Zaid Pertikai Keputusan PKR

Diterbitkan: Rabu, 27 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim hari ini mengkritik keputusan Biro Politik parti itu kerana tidak tegas mengambil tindakan terhadap Ahli Parlimen Kulim Bandar-Baharu, Zulkifli Noordin.

Malah menurut beliau, PKR juga dilihat takut untuk bertindak terhadap Zulkifli walaupun telah melakukan pelbagai perkara yang didakwa mahu menghancurkan parti itu dari dalam.

"Hairan juga keadaan ini, seolah-olah Zulkifli adalah seorang manusia yang tidak boleh disentuh oleh parti, entah mengapa ada keistimewaan itu.

"Ada pihak amat takut untuk mengambil tindakan terhadap Zulkifli walaupun jelas tindakannya yang mahu menghancurkan parti dari dalam mungkin kerana bimbang dengan persepsi bahawa orang Melayu dan Islam sayang kapadanya," katanya yang dipetik dalam blognya myzaidibrahim.wordpress.com.

Semalam, Biro Politik PKR memutuskan supaya Zulkifli dirujuk kepada lembaga disiplin parti kerana bertindak memfailkan laporan polis terhadap Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berhubung dakwaan menghina Islam.

Selain itu, Zulkifli juga diarah 'tutup mulut' dan tidak dibenarkan membuat sebarang kenyataan media berhubung kesnya itu yang disiasat dalam tempoh satu bulan.

Melalui entri terbarunya hari ini, Zaid mendakwa PKR sebagai sebuah parti yang tidak mampu untuk mempertahankan prinsipnya kerana gagal menangani segera kes berkaitan Zulkifli.

Selain itu beliau juga berkata, tindak-tanduk parti itu kini tidak jauh bezanya dengan Umno.

"Saya yakin PKR tidak mampu mempertahankan sesuatu prinsip utama dalam perjuangannya.

"PKR hari ini tak jauh bezanya dengan Umno, cuma ia hanya seperti acuan atau a poor man’s version of Umno," katanya.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu juga berkata, beliau tidak yakin PKR akan mengambil keputusan tegas terhadap Zulkifli walaupun diberi masa selama sebulan untuk membuat siasatan.

"Sebenarnya ramai orang merasakan PKR tidak serius untuk mengambil tindakan malah ada yang mengagak tidak akan ada satu keputusan yang tegas akan diambil dalam tempoh tersebut.

"Sementara itu Zulkifli setiap minit akan terus menghina pendirian Pakatan Rakyat dalam televisyen Umno dan surat khabar Umno dan tidak akan peduli arahan parti, sama seperti yang telah dia lakukan pada masa-masa yang lepas," katanya.

Zaid juga mendakwa PKR tidak yakin dalam menetapkan pendirian berhubung isu kalimah Allah.

"Bagi saya kalau kita tidak yakin dengan pendirian kita dalam soal penggunaan perkataaan Allah ini dan isu lain yang dibawa oleh Zulkifli, ikut saja Umno dan Zulkifli.

"Tapi kalau kita yakin, kalau kita berpegang kapada prinsip dalam Perlembagaan Persekutuan dan pendapat alim ulama maka kita mesti teruskan dengan pendirian kita.

"Sampai bila kita mahu berpolitik dua alam... di sana kita berpegang kepada satu prinsip, di sini kita bertukar kepada prinsip lain pula," katanya.

Dalam pada itu, Zaid juga menggesa supaya Zulkifli digantung keahlian sementara menunggu siasatan selesai.

"Sebab itu kita sepatutnya gantung Zulkifli sementara menunggu siasatan selesai kerana kesalahannya jelas dan berterusan bagi mereka yang dapat dan mahu melihat.

"Kita perlu berlaku adil kapada dia, tetapi kita juga perlu berlaku adil kapada ratusan ribu ahli parti yang mengharapkan pembelaan dalam mempertahankan prinsip perjuangan parti dan Pakatan Rakyat," katanya.

Melalui tulisannya itu, Zaid juga berkata beliau sedia menerima sebarang tindakan disiplin termasuk dipecat kerana mengkritik keputusan parti.

"Dalam memperkatakan semua ini saya mungkin dipecat oleh parti kerana saya tidak ada kekebalan seperti sesetengah pemimpin PKR.

Menurutnya, beliau akan terus menyuarakan perjuangan politik yang sihat dan bermaruah untuk kebaikan PKR dan Pakatan Rakyat.

"Kita tidak mampu menjadi parti yang akan membawa perubahan kapada politik dan pentadbiran negara kalau Zulkifli Nordin pun kita tidak boleh selesai dengan cara yang sepatutnya," katanya.

Zaid merupakan bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri yang meletakkan jawatannya kerana tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri(ISA).

Beberapa bulan selepas beliau dipecat oleh Umno kerana menyertai program pakatan pembangkang, Zaid mengumumkan keputusannya untuk menyertai PKR.

Malah beliau dilihat sebagai salah seorang pemimpin yang berpotensi untuk mengantikan Anwar sekiranya ketua umum PKR itu disabitkan dalam kes sodominya yang akan memulakan perbicaraan Selasa depan.

Namun di dalam PKR pun Zaid mencetuskan kontroversi demi kontroversi. Beliau telah memohon cuti politik selama beberapa bulan setelah hasratnya untuk ke Sabah bagi menyertai beberapa program di sana selepas hari raya tahun lalu telah disekat oleh Anwar.

iklan

Video

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan