Tanah Rizab Keretapi Dilepaskan Pada Kerajaan Perak

Diterbitkan: Rabu, 27 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Jemaah Menteri hari ini bersetuju tanah rizab keretapi di antara Taiping ke Kuala Sepetang seluas 94.5 hektar dilepaskan kepada Kerajaan Negeri Perak, demikian diumumkan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat.

Kerajaan Negeri juga bersetuju untuk membuat pembayaran kira-kira RM38 juta kepada Kerajaan Persekutuan melalui Perbadanan Aset Keretapi, pentadbir tanah terbabit.

"Keputusan ini diambil memandangkan tanah-tanah berkenaan tidak lagi digunakan untuk tujuan operasi keretapi sejak tahun 1941," kata Ong kepada pemberita sebelum mempengerusikan mesyuarat mingguan pasca Kabinet kementerian itu di sini.

Selain 643 unit keluarga setinggan, Ong berkata, terdapat 131 unit bangunan kosong dan 12 unit bangunan rumah ibadat di tanah itu.

"Di dalam rundingan antara Perbadanan Aset Keretapi dan Kerajaan Negeri, tanah rizab itu pada awalnya ingin ditukar ganti dengan tanah yang baru tetapi penggantian tanah berkenaan sukar dibuat kerana ketiadaan lokasi yang sesuai," katanya.

Kerajaan Perak kemudiannya mengesyorkan supaya tanah rizab itu diserahkan kepada kerajaan negeri dengan satu pembayaran munasabah mengikut perlembagaan.

Menurut Ong, kemelut tanah ini bermula tanpa sebarang penyelesaian semenjak sebelum Perang Dunia Kedua lagi dan kini ia dapat selesaikan.

"Malah isu ini pernah dibangkitkan semasa pilihan raya kecil Bukit Gantang April tahun lepas," katanya.

Melalui pelepasan tanah ini katanya, Kerajaan Perak bukan saja dapat mengatasi masalah perumahan rakyat di situ tetapi juga dapat membangunkan dan memelihara satu daripada tapak bersejarah di negeri itu. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan