Sambutan Perayaan Lebih Libatkan Rakyat: Rais

Diterbitkan: Rabu, 27 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan akan mengubah pendekatan program sambutan perayaan dan hari-hari kebesaran agar lebih melibatkan rakyat.

Menterinya, Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata, sebagai permulaan, pihaknya akan menyusun program bercorak sedemikian ketika sambutan Tahun Baru Cina peringkat nasional yang akan diadakan di Pandamaran, Klang, 20 Februari depan.

"Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri telah meminta agar perayaan-perayaan akan datang lebih melibatkan rakyat, jadi dalam konteks ini kami akan mengubah pendekatan dalam mensajikan, merakyatkan atau meraikan hari-hari kebesaran.

"Kami akan menyusun program supaya ia lebih menyentuh rakyat, dan tidak hanya dalam keadaan formal dengan ucapan tanpa ada selingan untuk melibatkan sentuhan rakyat," katanya pada pemberita mengenai keputusan yang dibuat pada mesyuarat kabinet hari ini.

Sementara itu, Rais juga berkata, kementerian itu juga telah diberi kepercayaan untuk mengendalikan penulisan memoir bekas Menteri Dalam Negeri Allahyarham Tun Ghazali Shafie, yang meninggal dunia Ahad lepas.

"Kementerian ini akan memberi kemudahan sebaik mungkin supaya riwayat hidup Allahyarham dapat dilaksanakan menerusi penyelidikan dan penulisan yang bertaraf tinggi, dan tidak hanya merupakan cebisan atau cetusan biasa," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan