PAC Saran JKR Baiki Sistem Pengurusan Projek

Diterbitkan: Rabu, 27 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menyarankan Jabatan Kerja Raya (JKR) memperbaiki sistem pengurusan projeknya bagi memastikan tidak ada lagi projek di bawah seliaan jabatan itu yang berhadapan masalah pembinaan seperti di Terengganu.

Pengerusinya, Datuk Seri Azmi Khalid berkata, berdasarkan siasatan, PAC mendapati faktor kelemahan sistem pengurusan projek adalah antara punca utama insiden bumbung runtuh di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kuala Terengganu Jun lepas.

"Kami tidak menyalahkan JKR, kita salahkan keseluruhan sistem, pengurusan keseluruhan projek lemah," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat bersama wakil Kementerian Kerja Raya dan Jabatan Kerja Raya bagi mendengar sendiri penjelasan mengenai beberapa insiden keruntuhan bangunan di Terengganu.

Pada 2 Jun lepas, bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, yang bernilai RM292 juta dan menjadi lokasi utama Sukan Malaysia (Sukma) 2008, runtuh menyebabkan kira-kira 50 peratus daripada strukturnya musnah.

Selain stadium itu, PAC hari ini turut mendapatkan penjelasan berhubung insiden siling tertanggal di Lapangan Terbang Sultan Mahmud Kuala Terengganu, masalah kerosakan Pusat Akuatik Majlis Perbandaraan Kuala Terengganu dan keruntuhan penghadang cahaya kaca di terminal bas baru di Kuala Berang.

Azmi berkata, PAC juga mendapati terdapat faktor kecuaian dan berlaku pertindihan tanggungjawab yang menyumbang kepada kepincangan dalam pembinaan stadium berkenaan.

"Kita melihat pembinaan projek ini sangat kompleks. Tidak ada kordinasi sepenuhnya, jurutera perunding untuk stadium lain, untuk bumbungnya lain, tetapi sepatutnya JKR sebagai penyelia utama dapat kenalpasti masalah ini dari awal, tetapi kerana kurang pemantauan perkara seperti ini terlepas pandang," katanya.

Azmi berkata, berdasarkan penemuan itu, PAC merumuskan JKR memerlukan pusat latihan khusus untuk membolehkan kakitangan jabatan itu menjalani latihan secara berkala bagi meningkatkan pengetahun dan ilmu mereka.

"Mereka ada terlalu banyak projek di bawah seliaan mereka dan oleh itu mesti ada program latihan berterusan untuk memastikan mereka sentiasa mengetahui perkembangan terkini," katanya.

Beliau berkata, sejak Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) diswastakan, kakitangan JKR tidak lagi mempunyai institusi khusus untuk menjalani latihan.

JKR kini mempunyai kira-kira 3,000 pegawai dan kira-kira 1,500 daripadanya merupakan jurutera awam.

Azmi berkata, PAC bagaimanapun belum membuat kesimpulan sepenuhnya berhubung kes berkenaan dan akan menyambung perbincangan pada 2 Feb ini untuk mengetahui beberapa lagi isu berbangkit. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan