Kita Tidak Akan Berkompromi: Hishammuddin

Diterbitkan: Rabu, 27 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Kerajaan tidak akan berkompromi dengan pihak yang meletakkan empat kepala babi hutan di dua masjid di Petaling Jaya selepas solat Subuh awal pagi tadi.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pihaknya memandang serius kejadian tersebut dan akan bertindak segera bagi menanganinya.

"Tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang terlibat sama sahaja seperti yang kita lakukan sebelum ini (isu membakar gereja dan surau).

"Kita akan cari, tahan mereka dan bawa ke muka pengadilan," katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman antara kementerian dan Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia, di sini hari ini.

Dalam kejadian awal pagi tadi, dua bungkusan kepala babi hutan bersama satu baldi plastik berisi 30 keping wang RM1 diletakkan di pintu masuk belakang ke pekarangan Masjid Jumhuriyah, Taman Datuk Haron.

Selain itu, dua bungkus lagi serta baldi berisi jumlah wang yang sama dijumpai di hadapan pintu masuk ke pekarangan Masjid Al Imam Al Tirmizi, Taman Sri Sentosa.

Hishammuddin berkata, beliau telah mengarahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan untuk menjalankan siasatan segera berhubung kes berkenaan.

Ditanya sama ada pihaknya sudah mendapat sebarang pertunjuk berkaitan kejadian itu, Hishammuddin berkata, beliau berharap agar masyarakat memberi masa kepada pihak polis untuk menangani kes itu.

"Kejadian itu berlaku awal pagi tadi, jadi kita perlu kaji dan saya harap masyarakat beri kita masa untuk selesaikannya.

"Sama ada kes ini berkaitan dengan masjid ataupun gereja, kita akan mengambil tindakan tegas," katanya.

Diminta mengulas sama ada pihak yang tidak bertanggungjawab itu memilih Taman Datuk Haron sengaja untuk mencetuskan provokasi, beliau berkata: "Perkara ini berlaku dalam kawasan 'panas' yang kita tahu boleh menimbulkan kekecohan.

"Kerana itu saya syak mereka yang buat ini bukan buat dengan sengaja dibuat, ini mungkin dengan tujuan untuk menghuru-harakan negara, menimbulkan emosi, kemarahan serta pertembungan di antara kaum dan agama."

Bagaimanapun menurut Hishammuddin, kejadian berkenaan tidak menggambarkan sikap sebenar rakyat negara ini.

"Majoriti rakyat Malaysia sangat cintakan keamanan, majoritinya tidak akan melakukan perkara seperti ini," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan