Khalid Ketuai 7 Pendaki Takluk Puncak Everest 2011

Diterbitkan: Rabu, 27 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Selepas kejayaan 11 rakyat Malaysia menakluki puncak Gunung Everest sejak 1997, tujuh lagi pendaki yang diketuai bekas Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Dr Khalid Yunus akan melakukan pendakian menakluk puncak tertinggi dunia itu pada Mei tahun depan.

Khalid yang juga Presiden Persatuan Kembara Malaysia berkata, pendakian kali ini turut disertai oleh seorang wanita, Roslizawati Rashidi, selepas kejayaan Marina Ahmad yang mencatatkan sejarah sebagai wanita pertama Malaysia menakluki puncak Everest pada Ekspedisi Merdeka De'Everest pada 2007.

"Ketujuh-tujuh pendaki termasuk saya telah berlatih selama dua tahun sebelum ini dan pada setiap bulan, kami mesti mendaki satu puncak gunung atau bukit di Malaysia. Tiada pengecualian sama ada lelaki atau wanita," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ekspedisi menakluki puncak Everest pada 2011 ini dikenali dengan nama Projek Misi Perdana de'EVEREST 2011.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor menyempurnakan majlis pra-pelancaran Projek Misi Perdana de'EVEREST 2011 di sini hari ini.

Khalid yang turut bersama dalam Ekspedisi Merdeka De'Everest pada 2007 sempena sambutan 50 tahun kemerdekaan Malaysia berkata, latihan fasa terakhir kumpulan tersebut kini bermula dengan tumpuan kepada pendakian puncak tertinggi lain di dunia bagi tujuan menyesuaikan diri dengan cuaca yang terlampau sejuk serta paras oksigen yang rendah.

Pada ekspedisi 2007 itu, Khalid mengalami masalah "mabuk gunung" ketika dalam perjalanan dari Kem 3 ke kem 4 pada paras ketinggian 7,200 meter dan terpaksa turun ke kaki gunung tersebut.

Beliau berkata, berlainan dengan ekspedisi 2007 yang bermula dari Nepal, ekspedisi 2011 akan bermula dari sebelah Tibet.

"Tahap kesukaran lebih kurang sama. Cuma pendakian dari sebelah Tibet akan menjelajahi terlebih dahulu kawasan luas yang kosong," katanya.

Khalid yang kini berusia 66 tahun berkata, kumpulannya baru kembali daripada menakluki puncak tertinggi di Afrika Selatan iaitu Gunung Kilimanjaro yang terletak di Tanzania pada Disember lepas.

Selepas ini katanya, kumpulan itu akan ke Pergunungan Alpine di New Zealand pada Mac ini.

Beliau berkata, Projek Misi Perdana de'EVEREST 2011 yang menelan belanja RM2.5 juta mendapat restu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dijangka melancarkannya secara rasmi pada April ini.

Sementara itu, satu-satunya pendaki wanita dalam kumpulan ini, Roslizawati, 27, berkata, dia menjalani latihan yang sama seperti rakan lelaki lain,

"Tiada pilih kasih. Malah saya sentiasa memastikan saya berada setahap lebih baik daripada mereka. Saya melakukan ekpedisi ini kerana cintakan kegiatan ini dan untuk menduga sejauh mana keupayaan diri," katanya yang bertugas sebagai pakar pemakanan.

Selain Roslizawati dan Khalid, pendaki lain ialah Mohd Illaham Ishak (36 tahun, jurutera komunikasi), Shahrul Azuan Shahruddin (30, guru), Zainul Fikri Mohd Idrus (31, tentera), Mohamad Shaheir Sabaruddin (27, pelajar Universiti Teknologi Mara) dan Mohd Dendera Billah Zamzuri (30, usahawan).

Senarai pendaki Malaysia yang menakluki puncak Everest:

1997 - M.Magendran dan N.Mohandas.

2004 - Muhammad Muqharabbin Mokhtaruddin dan Ahmad Reduan Rozali.

2006 - T. Ravichandran.

2007 - Idris Said, Ahmad Reduan Rozali, Ahmad Fakhri Abu Samah, Marina Ahmad, Mohd Rofi Kori, Muhammad Fauzan Hasan. - BERNAMA

iklan

iklan

Produk Berkaitan

Iklan