Kerajaan Cadang Wujud Kategori Sekolah Cemerlang

Diterbitkan: Rabu, 27 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

CEBU: Kementerian Pelajaran bercadang untuk mewujudkan kategori sekolah cemerlang bagi memudahkan sekolah berkenaan mencapai tahap Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) dengan cepat, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Saya sedang memikirkan mungkin kita akan wujudkan kategori yang bukan SBT tetapi cemerlang. Kita ada ranking kesemua 10,000 sekolah, baik di Sabah, Sarawak dan Semenanjung dan tahu daripada jumlah itu di tahap mana prestasi sekolah-sekolah itu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sidang pleno Persidangan Majlis Pertubuhan Menteri Pendidikan Asia Tenggara (Seameo) ke-45 di sini Rabu.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, sekolah-sekolah ini akan dibimbing dan dibantu bagi mencapai kriteria yang diperlukan untuk menjadi SBT.

Ketika diminta mengulas mengenai guru-guru di Sabah dan Sarawak yang merasa "terhina dan "patah semangat" kerana tiada satu pun sekolah di kedua-dua negeri itu tersenarai sebagai salah satu daripada 20 buah SBT yang diumumkan baru-baru ini, Muhyiddin berkata bukan sahaja Sabah dan Sarawak, Pahang juga tidak tersenarai.

"Ini bukan kerana kita menganak tirikan atau kita lupakan, tetapi asas pertimbangan yang dibuat pihak kementerian dalam meletakkan 20 buah sekolah terbaik itu adalah berdasarkan kriteria yang ketat.

"Kita tidak boleh kata setiap negeri mesti ada satu sekolah SBT, negeri ini ada tiga, setengah negeri pula tiada. Bukan kita hendak agihkan ikut negeri-negeri tetapi mengikut prestasi sekolah secara keseluruhan. Kebetulan pada tahun ini Sabah dan Sarawak tidak tersenarai daripada 20 buah SBT," katanya.

Beliau berkata, daripada 20 buah SBT itu, beberapa sekolah berasrama penuh turut tersenarai yang mana terdapat juga pelajar dari Sabah dan Sarawak.

"Jangan ada pemimpin persatuan guru, kerajaan negeri, pengetua atau guru besar ataupun rakyat di Sabah dan Sarawak mengatakan kita tidak bagi perhatian. Soal standard dan piawaian tidak boleh dikompromi," katanya.

Muhyiddin berkata, kerajaan sentiasa berusaha meningkatkan mutu pelajaran di Sabah dan Sarawak seperti menyediakan infrastruktur dan menghantar guru terlatih bagi merapatkan jurang dan tahap pendidikan di antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak serta di antara bandar dan luar bandar. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan