Zulkifli Diarah 'Tutup Mulut'

Diterbitkan: Selasa, 26 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama beberapa pemimpin PKR pada mesyuarat Biro Politik parti itu hari ini.
Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama beberapa pemimpin PKR pada mesyuarat Biro Politik parti itu hari ini.

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Kulim-Bandar Bharu, Zulkifli Noordin diarah supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan media sehingga siasatan berhubung kesnya selesai disiasat oleh lembaga disiplin Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Keputusan untuk merujuk konflik antara Zulkifli dan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad ke lembaga disiplin parti diputuskan dalam mesyuarat Biro Politik parti itu hari ini.

Setiausaha Agung PKR yang baru, Saifuddin Nasution ketika membaca kenyataan berhubung hasil mesyuarat berkenaan berkata, PKR memandang berat tindakan Zulkifli memfailkan saman terhadap Khalid berhubung dakwaan menghina Islam.

Menurut beliau keputusan siasatan berkenaan akan diketahui dalam tempoh satu bulan.

"Biro Politik berpendapat bahawa perbuatan yang sedemikian itu terdapat unsur dan elemen membelakangkan saluran dan mekanisme parti dalam mengetengahkan masalah.

"Kita bersetuju merujuk kes ini kepada lembaga displin parti yang diminta untuk bersidang dalam tempoh sesingkat mungkin dan tidak melebihi satu bulan untuk mengkaji dan menyiasat aduan serta mendengar penjelasan YB (Yang Berhormat) Zulkifli," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Menurut beliau lagi jika didapati bersalah, Zulkifli boleh dikenakan tindakan sama ada diberi amaran, gantung keahlian ataupun boleh dipecat keahlian.

Sementara itu pada sidang media yang sama, Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut melahirkan kekesalannya terhadap tindakan Zullifli itu.

"Kami kesal dengan tindakannya itu, tapi tindakannya telah membelakangkan parti," katanya.

Ditanya apakah tindakan yang bakal diambil sekiranya Zulkifli ingkar dengan arahan supaya tidak mengeluarkan kenyataan sehingga siasatan selesai, Anwar berkata: "Kita tentulah akan bertindak tegas kerana kita pandang isu ini berat, tapi kita tak mahu buat jangkaan dan buat keputusan sebelum ia berlaku.

"Kita tak mahu galakkan dia langgar keputusan parti, setakat ini tak boleh buat kenyataan bersabit isu ini sehingga diputuskan oleh lembaga disiiplin."

Sabtu lalu Zulkifli membuat laporan polis terhadap Khalid kerana didakwa mengeluarkan kenyataan memperlekeh dan menghina agama Islam termasuk mengatakan Enakmen Ugama Islam (Kawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) Negeri Selangor 1988 sebagai ketinggalan.

Laporan polis berkenaan merujuk kepada kenyataan Khalid dalam satu artikel disiarkan portal berita bertajuk ‘Enakmen larang kalimah Allah ketinggalan.’

Berikutan itu, Zulkifli menggesa polis supaya menjalankan siasatan terhadap Khalid mengikut Akta Hasutan 1948 atau Seksyen 298 Kanun Acara Jenayah.

Dalam pada itu, berhubung sama ada Zulkifli kini dianggap sebagai beban kepada parti, Anwar berkata perkara itu akan diputuskan oleh lembaga disiplin.

"Pada tahap ini kita sudah rujuk kepada lembaga disiplin, mereka akan keluarkan cadangan khusus," katanya.

Diminta mengulas mengenai pandangan Zulkifli bahawa tindakannya itu adalah kerana mahu mempertahankan Islam terutamanya berkaitan kebenaran penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam, Anwar berkata: "Pendirian kita mengenai isu kalimah Allah adalah jelas (sokong keputusan mahkamah), ini bukan pandangan peribadi saya, tapi berdasarkan pandangan ulama terkenal antarabangsa.

"Saya pilih untuk bersetuju kerana saya dapati perkara berkenaan tidak salah."

Anwar juga menegaskan bahawa beliau menghormati perbezaan pandangan yang dicetuskan Zulkifli namun tidak bersetuju dengan mekanisme yang digunakan.

"Tindakan Zulkifli memang saya tak setuju langsung kerana tak pilih jalan yang betul iaitu melalui forum dan dialog.

"Kami sudah beri peringatan tapi beliau tetap tidak beri kerjasama," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan