Surat Dijumpai Di Cheras Dicuri Semasa Serahan

Diterbitkan: Selasa, 26 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Sebanyak 70 pucuk surat yang dijumpai di belakang sebuah pasar di Taman Muda Cheras, dua minggu lepas bukanlah tertinggal tetapi telah dicuri semasa posmen melakukan penyerahan di kawasan itu.

Menurut siasatan Pos Malaysia, ia menunjukkan bahawa posmen tersebut telah meletakkan tiga berkas mengandungi surat berkenaan yang diletakkan dalam bakul di motosikalnya pada 11 Januari dan pergi menyerahkan surat kepada dua orang penduduk di Jalan Bunga Tanjung 6A dan di Jalan Bunga Tanjung 8 di Taman Muda.

Setelah posmen itu selesai membuat penyerahan di Jalan Bunga Tanjung 6A, beliau tiba-tiba ternampak berkas itu yang mengandungi surat-surat berkenaan untuk diserahkan kepada penerima di Jalan Bunga Tanjung 8 didapati hilang di dalam bakul motosikal, menurut kenyataan Pos Malaysia di sini hari ini.

Posmen berkenaan cuba mencari berkas surat itu tetapi gagal menemuinya, dan meneruskan tugas menyerahkan surat lain sehingga selesai sebelum melaporkan kehilangan tersebut kepada pegawai atasan beliau.

Siasatan yang dijalankan oleh Pos Malaysia melalui temubual dan maklumat yang dikumpul, menunjukkan posmen berkenaan tidak membuang surat itu seperti yang dilaporkan akhbar.

"Kita percaya apa yang dilihat oleh orang ramai mengenai seorang lelaki memakai uniform Pos Malaysia sedang mencari barang hilang ialah posmen kita sedang mencari berkas surat itu dan bukan membuangnya seperti yang didakwa," kata kenyataan itu.

Posmen berkenaan mempunyai rekod khidmat yang cemerlang, dedikasi dan sentiasa menjadi contoh kepada kakitangan lain, dan beliau tidak meninggalkan surat-surat itu dan bukanlah orang yang membuangnya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan